Pages

Sunday, September 11, 2011

Kerajaan baru Libya diselarKerajaan baru Libya diselar

BENGHAZI: Beratus-ratus penduduk semalam berarak di bandar raya ini, mendesak pucuk kepimpinan baru negara itu dirombak.
Pada masa sama, beberapa parti politik yang baru ditubuhkan mencabar pemimpin sementara negara itu dalam satu memorandum dengan berkata, kerajaan yang dibentuk tidak mencerminkan kehendak rakyat.

Penunjuk perasaan itu berarak di bekas perkarangan kediaman Muammar Gaddafi di Benghazi sambil menyanyi lagu ‘syuhada pertama ialah dari Benghazi’ dan menyelar apa yang mereka sifatkan sebagai golongan oportunis dalam pucuk kepimpinan baru.

“Sebahagian besar jawatankuasa eksekutif ialah pencekik darah’ dan penyamun. “Tetapi kita masih terus melihat mereka di televisyen. Mereka sepatutnya dihadapkan ke mahkamah,” kata Shukri, juruaudit pertengahan usia.

Memorandum itu yang ditandatangani 56 parti politik, kebanyakannya dari wilayah timur Libya menggambarkan perpecahan politik yang muncul di Libya, hanya dua minggu selepas penggulingan Gaddafi.

Menurut memorandum itu, pelan Maljlis Peralihan Kebangsaan (NTC) mengandungi percanggahan dan tidak boleh diguna sebagai panduan untuk pentadbiran dalam era selepas Gaddafi.


Menerusi pelan yang ada itu, NTC akan meletakkan jawatan serta menyerahkan kepada dua kerajaan sementara berturut-turut bagi tempoh peralihan yang ditetapkan selama 18 bulan bermula dari tarikh penggulingan Gaddafi.

Naib Pengerusi NTC yang juga jurucakap majlis, Abdel Hafiz Ghoga mengesahkan kerajaan menerima dokumen berkenaan tetapi tidak akan menimbangkannya kecuali selepas berjaya menguasai semua kubu Gaddafi.
Bantahan terhadap pelan NTC itu membawa kesan besar kerana yang menandatangani memorandum itu kebanyakannya dari Ben- ghazi, bandar di timur Libya yang mengetuai kempen ketenteraan terhadap Gaddafi.

Penunjuk perasaan Benghazi membawa sepanduk menyenaraikan 11 bantahan, menyuarakan rasa tidak puas hati mereka mengenai pelbagai isu, termasuk pemindahan pusat pemerintahan ke Tripoli dari Benghazi hingga perlantikan anggota rejim lama dalam NTC. - AFP

No comments: