Pages

Saturday, September 10, 2011

Ugut tembak tiga anak






POLIS membawa keluar seorang penoreh getah selepas mengamuk dan mengugut untuk membunuh anak-anaknya di Kampung Teluk Wang Dalam dekat Sungai Petani, Kedah, kelmarin. Gambar kanan, polis memeriksa peluru dan senapang patah yang dirampas dalam kejadian itu.


SUNGAI PETANI 9 Sept. – Berang setelah gagal memujuk bekas isterinya untuk berkahwin dengannya semula, seorang penoreh getah mengamuk dan mengugut untuk menembak tiga anak mereka dengan senapang patah, semalam.
Dalam kejadian mencemaskan pukul 3 petang di rumah suspek di Kampung Teluk Wang Dalam, Sungai Pasir, dekat sini, polis terpaksa memanggil bekas isterinya untuk memujuk lelaki berusia 37 tahun itu.
Bagaimanapun kanak-kanak berusia lima hingga 10 tahun itu berjaya diselamatkan oleh bapa suspek yang membawa keluar cucu-cucunya selepas dua jam dikurung di rumah tersebut.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Supritendan Ong Aik Chang berkata, polis yang menerima maklumat bergegas ke rumah itu pada pukul 5.30 petang dan mula mengepung suspek yang mengurung diri di dalam sebuah bilik.
Katanya, pelbagai usaha dilakukan untuk memujuk lelaki tersebut untuk menyerah diri tetapi gagal sehingga polis terpaksa membawa bekas isterinya dari Kangar, Perlis.
“Akhirnya, lelaki itu keluar dari rumah terbabit selepas dipanggil oleh bekas isterinya berusia 30-an pada pukul 9.45 malam.
“Lelaki terbabit kemudian ditahan untuk siasatan. Kita juga mengambil keterangan bapa suspek berusia 65 tahun,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini malam tadi.
Menurut beliau, polis turut merampas selaras senapang patah dan sejumlah peluru penabur daripada suspek.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971, Penalti Lebih Berat yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara 14 tahun dan sebatan.
Difahamkan, suspek yang juga anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) telah bercerai dengan isterinya setahun lalu dan telah berusaha merujuk semula dengan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) tetapi ditolak wanita itu.

No comments: