Pages

Saturday, September 10, 2011

Berbogel untuk ke sekolah




Murid Sekolah Rendah Inpres (SDI) Maulumbi, Mukim Kanbera, Sumba Timur terpaksa menyeberangi sungai tanpa pakaian semasa pergi dan balik dari sekolah. - Agensi


SUMBA TIMUR - Kita biasa mendengar murid-murid ke sekolah dengan berjalan kaki, tetapi lain halnya yang berlaku di Sumba Timur, Nusa Tenggara Timur apabila murid sekolah rendah di sini terpaksa mengharungi arus deras sungai semata-mata untuk menuntut ilmu.
Itulah pemandangan biasa yang berlaku setiap pagi apabila kira-kira 20 murid Sekolah Rendah Inpres (SDI) Maulumbi, Mukim Kanbera terpaksa berenang dalam keadaan telanjang bagi mengelakkan pakaian seragam dan buku sekolah mereka basah.
Bukan sahaja perlu mengenepikan rasa malu, murid-murid berumur tujuh tahun hingga 15 tahun itu juga terpaksa menyeberangi arus deras Sungai Maulumbi yang turut dihuni buaya untuk pergi dan balik dari sekolah.
Pelajar-pelajar itu terpaksa menanggalkan pakaian seragam sekolah dan kasut mereka bagi mengelakkan ia basah sebelum menyimpannya di dalam beg sandang yang turut diisi kelengkapan lain sekolah.
Mereka bukan sahaja akan berada di dalam sungai untuk tempoh 10 minit, tetapi juga terpaksa berenang di tengah sungai yang agak dalam.
Setelah tiba di seberang, mereka perlu memakai semula pakaian seragam dan kasut sekolah sebelum meneruskan perjalanan seperti biasa.
Di tebing sungai, beberapa penjaga atau ibu bapa yang prihatin boleh dilihat menemani anak mereka, malah ada antaranya yang turut bersama menyeberangi sungai kerana bimbangkan keselamatan anak serta ancaman daripada buaya.
"Setiap pagi saya akan hantar anak menyeberangi sungai untuk ke sekolah. Saya juga akan menjemputnya pada waktu petang.
"Arus Sungai Maulumbi agak deras, buaya pula sering dilihat di sini. Saya bimbang akan keselamatan anak," kata Erlin Konda Nguna, 23.
Ibu muda itu berkata, murid-murid sekolah rendah yang tinggal di Sumba Timur juga terpaksa ponteng sesi persekolahan sekiranya banjir besar berlaku.
"Memang ada sampan di sini, tetapi hanya ada sebuah dan tidak mampu memuatkan semua orang pada satu-satu masa," katanya. - Agensi

No comments: