Pages

Sunday, June 5, 2011

Dua tentera AS dijangkiti virus E.coli


TIMUN diberi percuma di selatan Sepanyol semalam bagi membuktikan ia selamat dimakan.
TIMUN diberi percuma di selatan Sepanyol semalam bagi membuktikan ia selamat dimakan.


WASHINGTON: Dua anggota tentera Amerika Syarikat (AS) berpusat di Jerman disyaki dijangkiti bakteria E.coli jenis berbahaya yang setakat ini menyebabkan kematian 19 orang di Eropah.

Pentadbiran Ubatan dan Makanan AS (FDA) sudah mula memeriksa penghantaran sayuran dari Sepanyol dan Jerman namun seorang pegawai Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) berkata wabak itu tidak dijangka merebak ke AS.
“Dua anggota tentera Amerika yang berkhidmat di Jerman dinilai sebagai kes disyaki,” kata Chris Braden, pengarah unit penyakit bawaan makanan, air dan alam sekitar di CDC.
E.coli jenis amat berbahaya itu sudah menyebabkan kematian 18 orang di Jerman dan satu di Sweden serta menyebabkan lebih 1,700 jatuh sakit, dalam wabak maut E.coli paling teruk yang pernah direkodkan.

“Hasil pertanian Amerika kekal selamat dan tiada alasan untuk penduduk mengubah tabiat pemakanan mereka,” kata David Elder, Pengarah Operasi Serantau FDA.

Kira-kira 199 kes baru bakteria E.coli toksik itu dilaporkan sejak dua hari lalu.

Sumber wabak masih tidak diketahui, namun saintis berkata jenis E.coli itu mungkin berasal daripada sayuran tercemar di Jerman.
Sayuran mentah terkenal sebagai tempat pengumpulan E.coli apabila ia ditanam menggunakan baju tahi lembu.

Tiga golongan dewasa Amerika sudah dirawat di hospital dengan apa yang pihak berkuasa percaya jenis sama bakteria itu selepas mereka berkunjung ke utara Jerman Mei lalu, kata CDC lewat Khamis lalu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata jenis E.coli dikenali sebagai 0104:H4, jarang ditemui, dilihat pada manusia sebelum ini, namun tidak pernah tersebar sebagai wabak. – Reuters Berita Harian Online | Dua tentera AS dijangkiti virus E.coli

No comments: