KERETA Proton Wira yang dinaiki Norhasmalinda, Nur Aqilah Najiha dan Nur Azura remuk selepas terlibat dalam kemalangan di Machang semalam. |
MACHANG – Kegembiraan seorang ayah untuk pulang ke kampung menghadiri majlis perkahwinan anak saudaranya bersama ahli keluarga tersentak apabila anak sulungnya serta dua lagi anak saudaranya maut dalam satu kemalangan jalan raya di sini semalam.
Lebih menghibakan, dia menyaksikan sendiri kereta Proton Wira yang dipandu anaknya itu bertembung dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis SsangYong Rexton melalui cermin pandang belakang ketika dia ingin melihat kedudukan kereta anaknya itu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi di Kilometer 46.8, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai di Kampung Kemuning itu, kereta yang dipandu Norhasmalinda Halim, 24, bersama dua sepupunya, Nor Aqilah Najiha Mohd. Saari, 14, dan kakaknya, Nor Azura, 18, dikatakan cuba memotong sebuah kenderaan lain sebelum bertembung dengan kenderaan tersebut.
Ketiga-tiga mereka maut dalam kemalangan itu manakala pemandu SUV itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Bapa Norhasmalinda, Halim Jusoh, 47, memberitahu, ketika kejadian, dia yang memandu kereta lain bersama isterinya, Mariah Ismail, 45, dan tiga anaknya dalam perjalanan dari Gua Musang ke Kampung Aur, Telong, Bachok untuk menghadiri majlis perkahwinan anak saudaranya.
“Kami bertolak dari Gua Musang kira-kira pukul 7.30 pagi dan kereta yang dipandu arwah (Norhasmalinda) berada di belakang kereta saya.
“Sampai di tempat kejadian, kebetulan ketika itu saya melihat cermin pandang belakang dan nampak kereta anak saya terlibat dalam kemalangan. Saya terus memberhentikan kenderaan dan berlari ke tempat kejadian,” katanya ketika ditemui semalam.
Kosmo! Online - Negara
No comments:
Post a Comment