TRIPOLI 23 Mac - Kuasa Barat yang membedil sistem pertahanan Libya akhirnya 'akan dimasukkan ke dalam tong sampah sejarah', kata Muammar Gaddafi, ketika askarnya menyekat kemaraan pemberontak, meskipun diserang dari udara selama empat malam, berturut-turut.
Serangan udara kuasa Barat telah berjaya melumpuhkan tentera udara Libya dan memaksa askar dan kereta kebal tentera Libya berundur dari pinggir kubu pemberontak di Benghazi, tetapi pemberontak yang tidak tersusun dan kekurangan senjata gagal memanfaatkan bantuan udara itu dan terus terperangkap.
Tentera pemberontak belum berupaya mengusir askar Gaddafi dari persimpangan utama bandar Ajdabiyah di timur, manakala kereta kebal tentera kerajaan terus membedil Misrata, bandar terbesar terakhir yang cuba dipertahankan oleh pemberontak.
Terdapat kemungkinan besar berlaku kebuntuan di darat, kata penganalisis.
Sekurang-kurangnya dua letupan kedengaran di Tripoli sebelum subuh hari ini, sementara deruan sebuah jet pejuang kedengaran di ruang udara disusuli tembakan bertalu-talu meriam antipesawat.
"Kita tidak akan menyerah kalah, kita akan menewaskan mereka dengan apa cara sekalipun kerana kita bersedia untuk berperang dalam jangka pendek atau jangka panjang....kita akan mencapai kemenangan akhirnya," kata Gaddafi kepada penyokong yang membentuk perisai manusia di pekarangan kediamannya di Tripoli.
Beliau menyifatkan serangan itu sebagai keganasan yang dilancarkan kumpulan fasis yang kesudahannya akan 'dimasukkan ke dalam tong sampah sejarah'.
Kerajaan Libya menafikan tenteranya melancarkan serangan, sebaliknya mendakwa mereka hanya mempertahankan diri apabila diserang, tetapi pemberontak dan penduduk berkata, kereta kebal rejim meneruskan bedilan ke atas Misrata di barat, menyebabkan 40 orang terbunuh kelmarin, di samping menyerang pekan kecil Zintan di sempadan Tunisia.
Kemaraan pemberontak di timur juga tersekat di pinggir Ajdabiyah sejak baki kereta kebal Gaddafi berkawal di sana selepas barisan kenderaan berperisai tentera beliau yang sedang mara ke Benghazi musnah dalam serangan udara tentera Perancis lewat Sabtu lalu.
Pemberontak yang berlindung di balik bukit pasir daripada tembakan meriam kereta kebal dari bandar itu tidak mempunyai senjata berat, kepimpinan, komunikasi atau pelan.
Negara-negara Barat keberatan menempatkan tentera darat yang dapat memberi panduan melancarkan serangan udara dengan lebih tepat bagi membantu pemberontak menawan Tripoli.
Sementara itu, penganalisis pertahanan berkata, kuasa Barat dijangka menanggung kos melebihi AS$1 bilion (RM3 bilion) untuk menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya jika operasi itu berlarutan selama beberapa bulan. - Reuters
No comments:
Post a Comment