Pages

Thursday, March 24, 2011

Belanja besar misi di Libya

WASHINGTON: Untuk mengira kos yang dibelanjakan oleh Amerika Syarikat bagi menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya bukan sesuatu yang rumit.
Kos operasi negara itu dan sekutu Eropahnya selama empat malam lalu mencecah ratusan juta dolar ketika pakatan antarabangsa itu berusaha memusnahkan sistem pertahanan udara Muammar Gaddafi dan menyelamatkan pemberontak daripada kalah.

Kos itu akan meningkat secara sederhana jika peranan Amerika dihadkan dengan Pentagon menggunakan bajet sedia ada untuk membiayai perbelanjaan atau ia boleh meningkat mendadak jika operasi itu berlarutan selama beberapa minggu atau bulan.

Sehingga Selasa lalu, tentera bersekutu melepaskan sekurang-kurangnya 162 Tomahawk yang dilancarkan oleh kapal perang dan kapal selam. Senjata berkenaan berharga antara AS$1 juta (RM3 juta) hingga AS$1.5 juta sebuah.

Sementara itu, operasi kos penerbangan ulang-alik pesawat pengebom stealth B-2 dari Missouri untuk menggugurkan bom seberat 900 kilogram di negara Afrika utara itu ialah kira-kira AS$10,000. Jumlah masa yang diambil untuk perjalanan itu ialah 25 jam.

Namun, jumlah itu hanya sebahagian daripada kos sebenar. Pesawat pengebom B-2 menggunakan minyak yang mahal dan bergantung kepada pesawat tangki minyak untuk pengisian di udara serta mungkin memerlukan penggantian beberapa bahagiannya apabila kembali ke Pangkalan Tentera Udara Whiteman.

Juruterbangnya juga sudah pasti akan dibayar elaun perang.

Kumpulan kapal perang Amerika yang belayar di Mediterranean, termasuk tiga kapal selam, tiga pemusnah dan dua kapal amfibia serta sebuah pesawat F-15 yang terhempas menelan belanja kira-kira AS$75 juta.
“Setiap enam jam defisit belanjawan bertambah AS$1 bilion lagi,” kata Roscoe Bartlett, anggota Republikan yang menduduki Jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata Kongres.

“Secara mudah, ia bermakna hutang sebanyak AS$1 bilion lagi yang perlu dibayar balik oleh anak, cucu dan cicit kami,” katanya. - AFP

No comments: