Pages

Thursday, March 24, 2011

Pemberontak sukar menang

AJDABIYAH: Di sebalik semangat juang dan keberanian pemberontak yang berkubu di padang pasir berhampiran bandar Ajdabiyah, mereka sebenarnya berdepan masalah kepemimpinan, pengalaman dan pelan tindakan jelas.
Mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang - daripada jurutera, pemandu teksi atau penganggur - dan kebencian terhadap Muammar Gaddafi menjadikan mereka bersatu.

Tidak dapat dipastikan sama ada semangat yang ada pada mereka mampu menyumbang kepada kejayaan menawan Ajdabiyah yang kini masih dikuasai tentera Gaddafi.

Keadaan itu mencetuskan dilema kepada kerajaan asing yang membuktikannya dengan melancarkan serangan dari udara dan laut bagi melumpuhkan sebahagian kekuatan kerajaan.

Konflik di wilayah timur Libya sejak lima minggu itu menemui jalan buntu apabila tentera Gaddafi - dilengkapi jet buatan Perancis - menyerang kubu pemberontak di Benghazi sebelum berundur ke Ajdabiyah.

Pada pagi semalam, sekumpulan pejuang bergerak ke bukit pasir kira-kira lima kilometer dari bandar berkenaan dalam persiapan untuk menyerang balas.

Apabila ditanya siapa memberi arahan, seorang daripada mereka sekadar menggeleng kepala.

“Tak ada sesiapa. Kami cuma sukarelawan dan tak ada sebarang pelan,” katanya.
Pada peringkat awal, tidak banyak bukti menunjukkan tentera kerajaan berpaling tadah menyokong kebangkitan rakyat.

Pada masa sama, pejuang pemberontak kelihatan sekadar pelakon filem Mad Max apabila berkawal dengan pakaian yang pelbagai.

Ketika sebahagian daripada mereka memakai seragam tentera, sesetengah yang lain mengenakan jaket kulit atau jersi bola sepak.

Di kepala, mereka bebas memakai sekadar kain tradisional, topi keledar atau apa saja.

Aspek persenjataan juga menunjukkan kepelbagaian - daripada mesingan yang dipasang di atas trak, raifal atau sekadar pisau dan batang besi.

Sesetengah pejuang berkata, mereka tertunggu-tunggu kemunculan pemimpin dari Benghazi, tetapi sebahagian lain lebih berharap kepada bantuan asing.

Jurucakap pemberontak, Essam Gheriani, berkata apa yang berlaku di Libya adalah kebangkitan rakyat secara spontan.

“Tiada sebarang persediaan.

“Rakyat bertanya, di mana tentera kita? Tentera kami adalah anak kami, doktor kami, penduduk di sini,” katanya. - Reuters

No comments: