Pages

Thursday, December 1, 2011

Pakistan boikot sidang berkaitan Afghanistan


ISLAMABAD 30 Nov. - Pakistan akan memboikot satu persidangan antarabangsa berkenaan Afghanistan minggu depan sebagai tanda protes terhadap serangan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang membunuh 24 tenteranya.

Keputusan itu diumumkan kerajaan Pakistan semasa mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Yusuf Raza Gilani di Lahore hari ini.

"Pakistan mahu melihat kejayaan persidangan itu, tetapi berdasarkan keadaan serta situasi masa kini kami mengambil keputusan untuk tidak turut serta dalam persidangan minggu depan," katanya dalam kenyataan akhbar.

Jerman bakal menganjurkan satu persidangan antarabangsa mengenai Afghanistan Isnin ini di Bonn, yang turut disertai delegasi dari 100 negara bagi membincangkan tentang masa depan negara tersebut.

Keputusan Pakistan itu merupakan tamparan hebat bagi persidangan tersebut.

Kebanyakan pemerhati percaya Pakistan berperanan utama untuk memulihkan masa depan Afghanistan berikutan lokasi serta budaya dua negara yang hampir sama serta keperluan tentera Pakistan untuk menghapuskan Taliban.

Keputusan Pakistan itu juga segera mendapat reaksi Afghanistan apabila Presiden Hamid Karzai menghubungi Gilani meminta supaya pendirian itu dipertimbangkan.

Pembantu jurucakap Karzai, Siamak Herawi berkata, Pakistan merupakan negara penting dalam persidangan tersebut, yang mahu membawa keamanan selepas 10 tahun perang menentang Taliban.

"Presiden menghubungi Gilani dan secara rasmi meminta kerajaan Pakistan menyertai persidangan Bonn," kata Herawi.

Pejabat Gilani dalam satu kenyataan mengesahkan panggilan telefon dari Karzai, namun tidak memberikan sebarang isyarat akan menimbang perkara tersebut. - dpa/AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: