Pages

Saturday, November 19, 2011

Spratly: AS jangan campur tangan



Wen Jiabao (kiri) berucap sambil diperhati Presiden Filipina Benigno Aquino pada Sidang Kemuncak ASEAN-China di Nusa Dua, Bali, Indonesia, semalam. - REUTERS


NUSA DUA, Indonesia 18 Nov. - Perdana Menteri China, Wen Jiabao hari ini berkata, 'tentera asing' tidak ada alasan untuk terlibat dalam pertikaian rumit berhubung tuntutan bertindih ke atas Kepulauan Spratly, satu amaran kepada Amerika Syarikat (AS) dan negara lain supaya tidak mencampuri isu sensitif ini.

China menuntut sebahagian besar daripada kepulauan yang menjadi laluan perkapalan penting di dunia dan kaya dengan minyak dan sumber asli.

Vietnam, Filipina, Taiwan, Malaysia dan Brunei turut menuntut beberapa bahagian daripada kepulauan itu, sementara AS dan Jepun menekan Beijing untuk cuba menyelesaikan isu yang telah mencetuskan ketegangan pada tahun ini.

Meskipun White House memberitahu Presiden Barack Obama akan membawa isu itu ke satu lagi sidang di Bali esok, China menolak untuk membincangkannya dan bertegas mahu menyelesaikannya dengan negara yang terlibat sahaja.

"Pertikaian yang wujud antara negara di rantau ini berhubung kepulauan itu telah lama berlaku dan ia perlu diselesaikan melalui rundingan oleh negara yang terlibat.

"Negara luar tidak patut dan tidak ada sebab untuk mencampurinya," tegas Jinbao kepada pemimpin ASEAN yang dipetik oleh laman web Menteri Luar China.

Menteri Luar Indonesia, Marty Natalegawa memberitahu wartawan, China memberikan isyarat positif tentang rundingan seterusnya mengenai kod pengendalian perairan di kawasan itu.

Sementara itu, akhbar milik kerajaan China, Global Times hari ini memberi amaran kepada negara-negara jirannya bahawa mereka mungkin menerima akibat ekonomi kerana melibatkan AS dalam pertikaian wilayah di Laut China Selatan.

"Mana-mana negara yang memilih untuk menjadi alat mainan AS, mereka akan kehilangan peluang meraih keuntungan daripada ekonomi China," kata akhbar itu. - REUTERS/AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: