Tarikh : November 27, 2011
WASHINGTON – Kejadian kemarau di Texas, banjir terburuk di Thailand dan gelombang suhu panas di Rusia antara bencana alam akibat pemanasan global melanda dunia baru-baru ini.
Berikutan beberapa insiden bencana alam sejak akhir-akhir ini, para saintis iklim antarabangsa dan pakar bencana mengeluarkan amaran kepada pemimpin dunia; Bersedia dengan cuaca lebih dahsyat yang tidak pernah berlaku, akibat daripada pemanasan global.
Mereka turut menyatakan kebimbangan bahawa tanpa persediaan awal, keadaan cuaca yang semakin tidak menentu akan memberi kesan buruk kepada beberapa tempat, sekali gus ia mungkin menjadi kawasan tidak sesuai lagi didiami penduduk.
Panel terdiri daripada penerima Hadiah Nobel antara kerajaan berhubung Perubahan Iklim ditubuhkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Organisasi Meteorologi Sedunia telah mengemukakan laporan khas mengenai pemanasan global serta perubahan mendadak suhu dunia dalam mesyuarat di Kampala, Uganda, minggu lalu.
Ia adalah kali pertama, kumpulan saintis memfokuskan mengenai bahaya perubahan cuaca melampau menyebabkan peningkatan gelombang panas, banjir, kemarau dan ribut taufan.
Mereka mendakwa fenomena kejadian itu adalah lebih berbahaya berbanding peningkatan secara perlahan purata suhu tahunan di bumi.
Sebagai contoh, laporan tersebut meramalkan gelombang panas berlaku sekali dalam setiap generasi akan menjadi lebih tinggi dan berlaku sekali pada setiap lima tahun menjelang pertengahan serta akhir abad.
Dan di beberapa kawasan seperti di seluruh kawasan Amerika Latin, Afrika dan sebahagian Asia, kejadian ini mungkin akan menyebabkan suhu sekitar menjadi lebih panas daripada biasa.
Hujan ribut biasanya berlaku sekali dalam tempoh 10 tahun pula dipercayai akan melanda lebih kerap di beberapa kawasan seperti Amerika Syarikat dan Kanada.
Menurut ramalan mereka lagi, di Asia Tenggara pula banjir dipercayai akan menjadi lebih dahsyat kerana pada masa depan ia mungkin berlaku kira-kira empat kali lebih kerap berbanding sekarang.
Kawasan seperti Texas dan Oklahoma juga dipercayai mencatatkan suhu lebih panas, berbanding negeri lain di Amerika Syarikat.
Salah seorang penulis laporan tersebut, David Easterling berkata, sudah tiba masanya masyarakat membuka mata untuk melihat kesan yang lebih buruk pada masa depan akibat daripada pemanasan global.
“Kita patut risau dan mengambil langkah berjaga-jaga sebelum ia menjadi lebih buruk. Keadaan bencana alam di beberapa negara sudah pun diisytiharkan terburuk dalam sejarah mereka,” menurut ketua kajian, Pengarah Palang Merah di Netherlands, Maarten Van Aalst.
Bagaimanapun, Chris Field dari Universiti Stanford pula menyatakan, dalam satu kajian lain, saintis seperti tidak dapat memastikan sama ada bencana alam bakal menjadi ancaman terbesar dan mempunyai kaitan dengan krisis ekonomi serta lokasi kepadatan penduduk.
“Kelemahan masyarakat untuk menangani bencana alam semakin meningkat kerana mereka tidak peka dengan keadaaan semasa,” menurutnya.
Dalam kenyataan kepada Associated Press, Field turut menyatakan sudah jelas bencana di sesebuah negara telah menyebabkan kerugian berganda yang mencecah AS$200 bilion (RM640 bilion) setahun.
“Lebih 95 peratus kematian akibat bencana alam di negara-negara membangun dicatatkan sejak 1970-an sehingga kini,” jelasnya lagi.
Ilmu sains yang telah berkembang sejak beberapa tahun lalu telah menyebabkan saintis yakin untuk mengesahkan peningkatan cuaca melampau adalah berpunca daripada pemanasan global.
Mereka juga seakan pasti gelombang panas akan menjadi semakin buruk dalam tempoh lebih panjang berbanding cuaca sejuk.
Ringkasan laporan penuh 29 muka surat itu turut mendedahkan hujan lebat berterusan juga dijangka akan meningkat di kawasan tropika dan utara.
Beberapa negara miskin dipercayai berpotensi tinggi dilanda bencana alam ini termasuk negara maju seperti Kanada, Rusia, Greenland.
Menurut kajian mereka lagi, kejadian banjir akibat paras laut yang semakin meningkat sejak beberapa tahun lalu adalah bencana terburuk setakat ini kerana ia menyebabkan kerugian dan angka kematian lebih besar.
Isu berhubung pemanasan global yang memberi kesan peningka-tan kepada suhu bumi ini sering kali menjadi tajuk utama untuk dibahaskan secara berterusan oleh saintis dan pengkaji bidang meteorologi.
Tetapi, adakah mereka sedar, pemanasan global ini berpunca daripada kerakusan manusia sehingga menyebabkan pencemaran alam yang telah meningkatkan kesan terhadap rumah hijau.
Firman ALLAH dalam Surah Ar-Ruum, ayat 41, “Sudah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah berasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment