ANGGOTA UPP mengeluarkan mayat Abdul Hamid selepas insiden berhampiran kuarters UPP di Bukit Kayu Hitam, kelmarin.
BUKIT KAYU HITAM: Seorang pemandu jengkaut maut apabila tebing lubang yang digalinya sedalam hampir tiga meter runtuh dan menimpanya ketika mangsa masuk ke dalam lubang berkenaan untuk memeriksa mata jenteranya yang tersangkut, pagi kelmarin.
Kejadian berhampiran Kuaters Unit Pencegah Penyeludupan (UPP), di sini, berlaku kira-kira jam 10.45 pagi ketika mangsa, Abdul Hamid Ismail, 47, turun ke dalam lubang untuk memeriksa mata jengkautnya yang dipercayai tersangkut pada batang paip ketika mengorek lubang di situ.Rakannya, Supian Ariffin, 45, berkata ketika itu dia pergi mengambil tukul besi di dalam kereta kira-kira 30 meter dari lokasi mereka bekerja.“Saya nampak dia masuk ke dalam lubang itu tetapi tiba-tiba tebing runtuh lalu menimpanya. Saya cuba menarik tangannya tetapi gagal.
“Berikutan itu saya terpaksa mendapatkan bantuan anggota UPP yang berada kira-kira 200 meter dari situ, tetapi sebaik tiba di lubang berkenaan Abdul Hamid dipercayai sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Teja, Changlun, dekat sini, semalam.
Mayat mangsa dikeluarkan dengan bantuan pasukan bomba dan penyelamat dan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Jitra untuk dibedah siasat.
Isteri mangsa, Rosmah Abdullah, 50, berkata, dia tidak menyangka gurauan suaminya untuk melangsaikan semua hutang kepadanya adalah petanda dia akan pergi meninggalkan mereka buat selama-lamanya.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment