KAHERAH - Lebih 100,000 warga Mesir yang menetap di luar negara buat pertama kalinya mengundi dalam pilihan raya Parlimen dengan membuang undi di pejabat kedutaan konsulat Mesir, kata pemerintah semalam.
Proses pengundian tersebut dijalankan menjelang pilihan raya Parlimen Mesir esok. Pilihan raya tersebut diadakan bagi memilih anggota Parlimen Mesir.
Sebelum ini, rejim yang dipimpin Presiden Hosni Mubarak melarang berjuta-juta rakyat Mesir yang menetap di luar negara daripada mengundi dalam mana-mana pilihan raya di negara itu.
Namun, selepas rejim Mubarak tumbang pada Februari lalu, larangan tersebut ditarik balik oleh pentadbiran baharu Mesir.
"Lebih 100,000 ekspatriat Mesir telah membuang undi hari ini manakala proses pengundian berjalan lancar," kata pemerintah dalam laman Facebooknya.
Menurut laman berita Ahram, cuma 300,000 daripada sejumlah 8 juta penduduk Mesir di luar negara telah mendaftar sebagai pengundi.
Negara berkenaan memiliki sekitar 80 juta penduduk.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang pemuda berusia 19 tahun terbunuh semalam semasa polis menyerbu kumpulan penunjuk perasaan yang menuntut pemerintahan tentera di Mesir ditamatkan segera.
Kumpulan-kumpulan penunjuk perasaan bergerak dari Dataran Tahrir di sini dan menghalang pintu masuk ke ibu pejabat Kabinet.
Mereka memprotes perdana menteri baharu yang dilantik oleh Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata Mesir, Kamal Al-Ganzuri. - Agensi
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment