SEORANG penunjuk perasaan yang cedera diusung oleh rakannya selepas pertempuran dengan anggota pasukan keselamatan berhampiran Dataran Tahrir di Kaherah, semalam.
KAHERAH: Penunjuk perasaan semalam meneruskan tuntutan mereka supaya majlis tentera menamatkan pemerintahannya sementara beberapa pertempuran berlaku berhampiran Dataran Tahrir, dua hari sebelum pilihan raya Parlimen.
Ratusan penunjuk perasaan berkhemah sepanjang malam di dataran itu dan sebahagian mereka berarak menuju ke bangunan Parlimen berhampiran pada awal pagi untuk membantah perlantikan perdana menteri baru oleh majlis tentera.
Majlis berkenaan kelmarin melantik Kamal Ganzouri untuk membentuk Kabinet baru. Kamal pernah menjadi perdana menteri ketika pemerintahan Hosni Mubarak.
Polis bertindak melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan itu. Empat orang dilapor cedera.
Pertempuran singkat itu adalah yang pertama selepas keganasan terhenti dua hari lalu setelah 41 orang terbunuh dalam pertempuran selama beberapa hari sejak Sabtu lalu.
Sementara itu, kumpulan yang berhimpun di Dataran Tahrir melaungkan slogan mendesak Ketua Majlis Tentera, Mohamed Hussein Tantawi meletak jawatan.
Jumaat lalu, puluhan ribu rakyat Mesir mengadakan perhimpunan besar-besaran bagi mendesak Majlis Tertinggi Angkatan Tentera menyegerakan penyerahan kuasa kepada orang awam yang mereka percaya memerlukan pemimpin tentera berundur sekarang.
Kekacauan politik dan keganasan memburukkan keadaan ekonomi negara itu yang teruk terjejas sejak penggulingan Hosni Februari lalu.
Sehingga ini, belum ada tanda-tanda menunjukkan pemimpin tentera bersedia untuk memenuhi tuntutan penunjuk perasaan.
Mereka sebaliknya berjanji bahawa presiden baru akan dilantik menerusi pilihan raya pada pertengahan tahun depan, lebih cepat daripada yang diumumkan sebelum ini serta melantik Kamal, 78, untuk mengetuai kerajaan sementara.
Sementara itu, majlis tentera mengumumkan setiap peringkat pengundian akan diadakan selama dua hari bagi memberi peluang semua orang mengundi.
Pengundian akan bermula esok tetapi tidak akan berakhir sehingga awal Januari kerana ia terpaksa melalui pelbagai peringkat. - AP
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment