21/10/2011 9:03pm
KUALA TERENGGANU – Sepuluh pasangan yang menjadi peserta MyIdol Raja Sehari 1Malaysia 1Pasangan selamat diijabkabulkan secara beramai-ramai di Masjid Kristal, Taman Tamadun Islam (TTI) di sini hari ini.
Majlis akad nikah di hadapan hampir 1,000 tetamu termasuk anggota keluarga pengantin disempurnakan oleh bekas Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT), Datuk Ismail Ali.
Kesemua pasangan itu akan disandingkan pada majlis khas di Dataran Shah Bandar, dekat sini malam esok, yang akan turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.
Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh ketika ditemui pemberita berkata, 10 pasangan itu adalah mereka yang terpilih daripada lebih 100 pasangan yang memohon untuk menyertai program yang bermula sejak Jun lepas.
"Kesemua kos perkahwinan pasangan ini termasuk wang tunai RM5,000 dan pakej berbulan madu ditaja sepenuhnya oleh penganjur yang disokong pelbagai agensi kerajaan dan swasta di Terengganu,” katanya.
Wan Ahmad Farid, yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, berkata, berdasarkan sambutan hangat yang diberikan terhadap program tersebut kali ini, pihaknya bersedia untuk mempertimbangkan agar ia terus diadakan pada tahun depan. – Bernama
No comments:
Post a Comment