Pages

Saturday, October 22, 2011

Teladan untuk diktator Arab

DUBAI: Bagi kebanyakan penduduk Arab, penahanan dan pembunuhan Muammar Gaddafi - pemerintah paling lama berkuasa di Timur Tengah - adalah pengajaran kepada pemimpin kuku besi lain di rantau berkenaan.

Bagaimanapun, sesetengah pihak menganggap Libya bakal menjadi lebih baik jika Gaddafi diberikan peluang mendapat perbicaraan adil bagi menjawab kekejaman sepanjang 42 tahun pemerintahannya.


Peniaga di Beirut, Ziad Khalil, berkata jumlah diktator di dunia kini semakin berkurangan dengan kematian Gaddafi.

“Kematian itu memang layak untuknya,” katanya.


Di Kaherah, eksekutif perniagaan, Youssef Hammad, 43, berkata dia tidak terkejut melihat bagaimana riwayat Gaddafi berakhir.


“Cara Gaddafi mati ditakdirkan begitu selepas dia mengabaikan seruan rakyat untuk bersikap lebih terbuka dan bebas,” katanya.

Di sebalik gesaan rakyat, kata Youssef, Gaddafi memburu mereka “sehingga ke lubang cacing.” “Nampaknya, dia mati dalam keadaan diburu rakyat Libya hingga ke lubang cacing,” katanya.


Menjadi pelarian sejak Ogos lalu, Gaddafi dibunuh kelmarin selepas pejuang Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) menangkapnya di tengah Sirte.

Dia cuba melarikan diri dari situ bersama konvoinya tanpa menghiraukan serangan udara Nato tetapi pejuang NTC berjaya menemuinya bersembunyi dalam pembetung.


Rakaman video telefon bimbit menunjukkan dia dibelasah selepas itu.


Perdana Menteri sementara Libya, Mahmoud Jibril, berkata Gaddafi mati akibat terkena tembakan ketika dibawa ke hospital.


Bagaimanapun, ramai meragui kesahihan kenyataan itu, sebaliknya yakin Gaddafi mati di tangan pejuang NTC yang menahannya.


Sementara itu, Mesir berkata, mereka bersedia membantu rakyat Libya membina semula negara berkenaan, tetapi kebanyakan negara Arab lain masih berdiam diri. - Reuters

myMetro | Teladan untuk diktator Arab:

'via Blog this'

No comments: