RAMALLAH 21 Sept. - Beribu-ribu penduduk Palestin berhimpun di seluruh Tebing Barat hari ini untuk menyokong kempen menyertai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai negara yang ke-194.
Di Ramallah, beribu-ribu orang menuju ke pusat bandar itu sambil mengibarkan bendera dan melaungkan slogan.
Perhimpunan itu dijadual bermula lewat pagi ini, menurut responden AFP.
Perhimpunan besar lain dirancang diadakan di Nablus, Hebron dan Bethlehem.
Demonstrasi itu dilancarkan menjelang penyerahan secara rasmi permohonan menjadi negara anggota PBB kepada Setiausaha Agung badan dunia itu, Ban Ki-moon oleh Presiden Mahmud Abbas, Jumaat ini.
Pegawai Palestin berulang kali berjanji bahawa perhimpunan itu akan diadakan secara aman dan kekal di kawasan yang dikuasai mereka, tetapi tentera Israel telah pun bersiap sedia untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan.
"Di Ramallah, jalan-jalan utama ditutup kepada lalu lintas dan anggota polis kelihatan berkawal di pintu-pintu masuk ke bandar itu," kata responden AFP.
Dataran Manara di pusat bandar itu ditutupi dengan bendera putih besar yang memaparkan perkataan 'Kempen Kebangsaan untuk Palestin: Negara ke-194' ketika mereka yang berhimpun berteriak 'Kami mahu Palestin merdeka'.
Abbas akan menghantar permohonan rasmi kepada anggota PBB selepas beliau menghadiri Perhimpunan Agung Jumaat ini, tindakan yang ditentang keras oleh Israel dan Amerika Syarikat yang berjanji akan menyekatnya di Majlis Keselamatan. - AFP
No comments:
Post a Comment