Pages

Thursday, September 22, 2011

Kerajaan baru 10 hari lagi

NEW YORK: Perdana Menteri sementara Libya, Mahmoud Jibril berkata, negaranya akan menamakan kerajaan baru dalam masa 10 hari lagi.
Kenyataan Mahmoud yang dibuat selepas persidangan G8 di New York itu meningkatkan harapan kemajuan politik di Libya selepas penggulingan Muammar Gaddafi.

Pemerintah sementara negara itu mendapat sokongan daripada Washington, Kesatuan Afrika dan Afrika Selatan dan bendera barunya dikibarkan buat kali pertama di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, semalam.

Perbincangan di Libya bagi membentuk kerajaan sementara sebelum ini menghadapi jalan buntu.

Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) yang masih berpusat di Benghazi, bandar di timur negara itu, berdepan dengan persoalan mengenai sama ada ia boleh menyatukan negara yang berpecah berdasarkan suku kaum dan garisan tempatan.

Pemerintah baru Libya kini berusaha menumpaskan penyokong setia Gaddafi di beberapa bandar dan masih belum memulakan usaha merangka perlembagaan dan mengadakan pilihan raya.


Mahmoud berkata, antara pertimbangan yang dibahaskan pemimpin sementara itu ialah jumlah kementerian dalam kerajaan baru dan sama ada kerajaan akan kekal di Tripoli atau dibahagikan kepada timur dan barat Libya.

Menurutnya, pembaharuan secara demokratik akan dilakukan untuk menjadikan negara anggota Opec itu lebih telus.

Dalam pada itu, Kesatuan Afrika yang sering diselar kerana reaksinya terhadap kejadian di rantau itu berkata, ia sudah bersedia untuk menyokong NTC.

Afrika Selatan, kuasa besar ekonomi di benua itu dan negara yang mempunyai pengaruh kuat dalam dasar AU juga berkata, ia akan menyokong NTC, sekali gus menamatkan hubungannya yang sudah sekian lama wujud dengan Gaddafi.

Di PBB, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama menggesa penyokong setia Gaddafi menghentikan pertempuran dan mengumumkan duta negara itu akan kembali ke Tripoli. - AFP

No comments: