Pages

Thursday, September 22, 2011

AS bina pangkalan drone gempur al-Qaeda



WASHINGTON 21 Sept. - Amerika Syarikat (AS) kini dalam proses membina pangkalan rahsia untuk pesawat tanpa juruterbang (drone) bagi menyasarkan kumpulan rangkaian al-Qaeda di Somalia dan Yemen.
Menurut laporan akhbar Washington Post yang memetik pegawai AS, satu daripada pangkalan itu sedang dibina di Habsyah untuk memerangi militan al-Shabab, kumpulan yang mengusai kebanyakan wilayah negara itu.
AS turut membina beberapa lagi pangkalan di semenanjung Arab bagi melancarkan serangan drone ke atas Yemen.
Tindakan itu diambil bagi meningkatkan lagi penggunaan drone yang sebelum ini telah pun digunakan dalam operasi serangan ke atas Afghanistan, Iraq, Libya, Pakistan, Somalia dan Yemen.
Seychelles kini merupakan pangkalan untuk drone sejak September 2009, tetapi hanya untuk mengesan lanun dan tidak dilengkapkan dengan senjata.
Kabel diplomatik yang didedahkan oleh WikiLeaks bagaimanapun menyatakan, pangkalan itu turut digunakan untuk misi di Somalia yang terletak 1,300 kilometer dari Seychelles.
Menurut pendedahan itu, diplomat-diplomat AS dan Presiden Seychelles, James Michel pada 2009 bersetuju berhubung perkara kemungkinan melengkapkan drone itu dengan senjata.
"AS mahu mewujudkan rangkaian pengawasan ke atas rangkaian al-Qeada di rantau itu dan Habsyah kini menjadi sumber maklumat penting kepada AS mengenai komunikasi dan pergerakan al-Shabab," kata bekas pegawai perisikan AS. - dpa

No comments: