Pages

Sunday, September 18, 2011

Pejuang NTC berundur

SIRTE: Penyokong setia bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi melakukan serangan balas terhadap usaha kerajaan baru negara itu untuk menghapuskan saki-baki tentera Gaddafi, memaksa pejuang Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) berundur ke kawasan pergunungan.
Pertahanan kukuh di Sirte dan Bani Walid menunjukkan penyokong Gaddafi masih berkuasa di situ dan tidak mudah untuk kerajaan baru Libya mematahkan pertahanan rejim pemimpin diktator berkenaan. Ia juga menimbulkan kebimbangan negara itu bakal berdepan insiden sama seperti yang berlaku di Iraq dan Afghanistan. “Penyokong setia Gaddafi mempunyai banyak senjata,” kata pejuang NTC, Maab Fatel di kubu dekat Bani Walid, 140 kilometer dari Tripoli. “Pertempuran ini memang gila,” katanya dengan uniform berlumuran darah selepas membantu memapah pejuang lain yang cedera.

Pejuang NTC memulakan serangan dengan mara ke Bani Walid tetapi berundur selepas pertempuran hebat gagal mematahkan serangan tentera pro-Gaddafi di lokasi strategik. Kedua-dua pihak berbalas tembakan roket dan mortar di lembah padang pasir bergelar Wadi Zeitoun yang membahagikan bandar itu antara utara dan selatan.

Doktor di hospital berdekatan bandar Wishtata, Mohaned Bendalla berkata, sekurang-kurangnya enam pejuang NTC terbunuh dan lebih 50 orang lagi cedera. Radio stesen di bandar itu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan seorang daripada orang kuat Gaddafi mengecam pejuang NTC yang disifatkan sebagai pengkhianat dan tidak menghormati nilai Islam. “Pejuang NTC berjuang untuk minum arak dan mengambil dadah setiap waktu seperti orang Barat,” umum juruhebah radio itu. - AP

No comments: