Pages

Sunday, September 18, 2011

Niger enggan hantar pulang anak Gaddafi





2011/09/18

SEKUMPULAN penentang  Gaddafi dengan bersenjata memijak sebidang permaidani yang tertera gambar bekas pemimpin Libya itu, semalam.
SEKUMPULAN penentang Gaddafi dengan bersenjata memijak sebidang permaidani yang tertera gambar bekas pemimpin Libya itu, semalam.
Pemimpin negara jiran Libya mahukan jaminan perbicaraan adil

NIAMEY: Kerajaan Niger menegaskan bahawa pihaknya tidak akan menghantar pulang anak lelaki pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, Saadi, kembali ke negara asalnya selepas beliau melarikan diri berikutan keruntuhan rejim pemerintahan bapanya di Tripoli. 

Jurucakap kerajaan yang juga Menteri Kehakiman Niger, Marou Amadou berkata: Tidak. Demi tanggungjawab antarabangsa (kami), kami tidak boleh menghantar Saadi pulang kerana yang pasti beliau tidak berpeluang menghadapi perbicaraan adil dan akan berdepan hukuman mati.
Dalam erti kata lain, jika lelaki ini atau mana-mana orang dikehendaki oleh sebuah mahkamah bebas untuk dibicarakan dengan adil, Niger akan menunaikan tanggungjawabnya.
Niger adalah sebuah kerajaan berdaulat dan kami perlu mempertimbangkan permintaan atau tuntutan apabila mereka menerimanya, katanya. 

Dalam satu lawatan ke Libya pada Khamis bersama Perdana Menteri British, David Cameron, Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy berkata beliau yakin Niger akan bekerjasama dalam perkara ini. 

Kami tidak mempunyai alasan untuk meragui komitmen pemimpin Niger dalam keadilan antarabangsa, kata Sarkozy. 

Saadi Gaddafi tersenarai sebagai orang paling rapat dengan rejim Gaddafi yang menjadi sasaran sekatan perjalanan Majlis Keselamatan PBB. 
Beliau yang berusia 38 tahun adalah anak ketiga daripada tujuh anak lelaki Gaddafi, bekas seorang pemain bola sepak yang menamatkan karier di Itali pada 2004 untuk menyertai tentera sebelum mengetuai satu unit elit. 

Beliau tiba di Niger, Ahad lalu bersama sebuah konvoi yang turut disertai anggota lain rejim yang ditumbangkan itu. 

Niger mengesahkan bahawa seramai 32 penyokong Gaddafi berada di negara itu termasuk tiga jeneral dan mereka dibenarkan masuk atas alasan kemanusiaan. 
Niamey secara rasmi mengiktiraf Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) itu sebagai kepemimpinan sementara Libya. 

Niger menegaskan bahawa Gaddafi sendiri tidak berada di wilayahnya dan mengisytiharkan bahawa pihaknya akan mematuhi perjanjian antarabangsa sekiranya pemimpin Libya yang dikehendaki itu merentasi sempadan negara terbabit. 

Niger tidak akan teragak-agak untuk menghormati perjanjian ini sebagai satu demokrasi dan sebuah negara mempunyai undang-undang, kata Amadou. 

Penyokong Gaddafi adalah di bawah kawalan kami, pemantauan kami dan perhatian kami dan kerajaan akan memastikan bahawa mereka menjauhi semua aktiviti politik, katanya. 

Amadou berkata bahawa satu delegasi NTC dijangka berada di Niamey dan pada masa ini sentiasa menghubungi pihak berkuasa terbabit. AFP 

No comments: