SUNGAI GOLOK, Selatan Thailand 17 Sept. - "Saya nampak anak saya dihempap motosikal dan berlumuran darah di celah kepulan asap."
Itu cerita sedih seorang lelaki, Wong Wai Siong, 33, yang menyaksikan anaknya, Wong Kai Sean, 3, maut dalam letupan bom di Jalan Charoen Khet di bandar ini lewat petang semalam.
Ketika kejadian, Wai Siong dan isterinya, Ang Ya Rat, 35, bersama anak bongsu mereka yang berusia setahun sedang membeli-belah di kawasan tersebut manakala Kai Sean bersama datuknya, Wong Hong Yep, 64, berada di luar kedai.
Mereka sekeluarga tiba di bandar itu kira-kira pukul 6 petang dan berjalan kaki untuk ke kawasan deretan kedai yang menjual pelbagai barangan.
"Ketika kejadian, saya berada berhampiran Hotel Merlin dan sedang membayar wang selepas membeli barangan sebelum terdengar bunyi letupan yang sangat kuat.
"Bapa saya, Hong Yep dan anak sulung saya, Kai Sean terus keluar dari kedai untuk melihat apa yang berlaku. Bagaimanapun, beberapa minit selepas itu, saya dengar letupan kedua yang lebih kuat berhampiran dengan medan selera, ketika itu saya mula teringat kedua-dua mereka.
"Saya meredah kepulan asap pada di kawasan letupan kedua itu dan nampak anak saya berada di bawah motosikal dengan darah yang penuh di kepala manakala bapa saya sudah rebah dengan kecederaan di kepala dan leher," katanya ketika ditemui di Hospital Sungai Golok di sini, hari ini.
Wai Siong yang bekerja sebagai mekanik di Jalan Hamzah, Kota Bharu berkata, dia cedera di kaki kiri akibat terkena serpihan bom manakala isteri dan anak bongsunya berusia setahun tidak mengalami kecederaan kerana berada di dalam kedai ketika kejadian.
Sementara itu, abang kepada seorang lagi mangsa yang maut, Foong Too Meng, 55, berkata, adiknya Foo Keah bersama rakan dan seorang lagi adiknya tiba di Sungai Golok kira-kira pukul 5 petang kelmarin.
Menurutnya, ketiga-tiga mereka ke bandar tersebut untuk menghabiskan cuti hujung minggu membeli-belah di kawasan tersebut.
"Menurut rakan adik saya, mereka baru mendaftar masuk di sebuah hotel, selepas itu keluar minum di sebuah kedai berhampiran.
"Selepas terdengar bunyi letupan, mereka keluar untuk melihat keadaan tersebut bagaimanapun ketika mahu masuk semula ke dalam kedai itu sebuah motosikal yang berada berdekatan meletup," ujarnya.
No comments:
Post a Comment