Pages

Sunday, September 18, 2011

Askar Gaddafi beri tentangan sengit di Bani Walid



GENEVA 17 Sept. - Pengikut setia kepada Muammar Gaddafi melancarkan roket dan mortar bagi membalas serangan tentera pemberontak di Bani Walid dan terus mengusai bandar Sirte.
Beratus-ratus tentera pemberontak yang menggunakan senjata berat dan dibantu oleh trak tempur terpaksa berundur dari bandar Bani Walid sehari selepas melancarkan serangan, semalam.
Di Sirte, bandar kelahiran Gaddafi, tentera pemberontak menawan lapangan terbang di pinggir bandar itu dan bergerak masuk ke kawasan kediaman penduduk.
Letupan, tembak-menembak serta bunyi roket kedengaran dari tengah Sirte dan asap hitam turut kelihatan, manakala pesawat tentera Perikatan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berterbangan di ruang udara bandar itu.
Sementara itu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam mengurangkan sekatan ke atas Libya, termasuk ke atas syarikat minyak dan bank pusat negara itu, bagi membolehkan institusi-institusi utama beroperasi semula selepas pemberontak memenangi perang saudara di negara itu.
Sebanyak 15 negara yang menganggotai Majlis Keselamatan itu sebulat suara menyokong resolusi tersebut yang turut termasuk misi PBB di Libya untuk membantu negara Afrika Utara berdiri sendiri selepas menggulingkan Gaddafi.
Sementara itu, kerajaan Niger semalam menyatakan tidak akan menghantar anak Gaddafi, al-Saadi ke Libya selepas dia melarikan diri ke negara itu minggu ini. - REUTERS/AFP

No comments: