Pages

Sunday, September 4, 2011

Losyen beracun punca firaun mati

PATUNG ukiran Hatshepsut.
PATUNG ukiran Hatshepsut.

Ratu Mesir kuno tak sedar krim sapu ada bahan penyebab barah

BERLIN: Ratu Mesir kuno, Hatshepsut, didapati meninggal dunia kerana meracun diri sendiri secara tidak sengaja dengan menggunakan losyen kulit mengandungi bahan penyebab barah yang tinggi, menurut kajian baru Universiti Bonn.
Dipercayai dibunuh suatu ketika dulu, Hatshepsut, mungkin juga maut kerana punca lain iaitu berkemungkinan besar losyen kulit yang digunakan, kata sarjana Jerman.
“Ada bukti kuat di sini dari segi itu,” kata pakar farmakologi, Helmut Wiedenfeld, dari Universiti Bonn.

Penyelidik menemui bahan penyebab barah dalam termos yang mengandungi minyak sapu kulit yang digunakan firaun wanita kira-kira 3,500 tahun lalu. Keluarga Hatshepsut diketahui menghidap masalah kulit.

“Kita sudah lama tahu Hatshepsut menghidap barah dan mungkin mati kerananya. Kini kita tahu apa penyebabnya,” tambah pakar Mesir universiti berkenaan pula, Michael Höveler-Müller.

Penyelidik menganalisis kandungan botol kecil haruman yang ditempatkan di Muzium Mesir di universiti itu, mendedahkan kandungannya termasuk minyak palma dan minyak buah pala, selain lemak poli tidak tepu yang digunakan untuk melegakan sakit kulit seperti ‘psoriasis.’
Menariknya, gabungan itu mengandungi benzo(a)pyrene, komponen penyebab barah tar yang kini diharamkan dalam kosmetik.

Pakar Mesir pernah menganggap Hetshepsut dibunuh tetapi kajian terbaru menunjukkan barah atau diabetes adalah punca kematiannya, pada lingkungan usia 35 tahun.

Hatshepsut, yang memerintah Mesir pada abad ke-15 Sebelum Masihi, memulakan penguasaannya sebagai Raja Muda kepada anak tirinya.

Apabila anak tirinya sudah cukup umur, Hatshepsut, enggan menyerahkan takhta dan menjadi pemerintah bersama. Hatshepsut kerap dirujuk menggunakan sebutan lelaki dan dipaparkan memakai janggut palsu tradisi firaun.

Pemerintahan Hatshepsut dilihat oleh sarjana sebagai kemuncak kestabilan dan kemakmuran Mesir. Dia dikebumikan di Lembah Raja, dan petanda paling popularnya ialah tinggalan kuil di Deir el-Bahari. – Agensi 

No comments: