CANBBERA, Australia - Mogok lapar tidak akan menjejaskan rancangan kerajaan Australia menghantar pencari suaka politik ke Malaysia di bawah perjanjian pertukaran pelarian bersama Kuala Lumpur, kata Perdana Menteri Julia Gillard.
Kelmarin, sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Pakatan Bertindak Pelarian (RAC) menyatakan, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada beberapa pencari suaka di Pulau Krismas.
RAC menyatakan, panggilan tersebut untuk memaklumkan mengenai tindakan sebahagian pencari suaka yang melancarkan mogok lapar kerana membantah rancangan penghantaran mereka ke Malaysia.
Kumpulan yang terdiri daripada 54 pencari suaka politik termasuk 18 kanak-kanak itu dengan kebanyakannya dari Afghanistan, tiba di Pulau Krismas pada Khamis lalu.
Mereka merupakan kumpulan orang hanyut pertama yang akan dipindahkan ke Malaysia di bawah perjanjian bersama Kuala Lumpur - Canberra.
Mengulas mengenai perkara itu, Gillard berkata, laporan mengenai mogok lapar itu tidak akan mengubah pendirian kerajaan Australia.
"Sebarang isu berbangkit akan ditangani para pegawai jabatan imigresen kita," kata Gillard semalam.
Pada 26 Julai lalu, kerajaan Australia memeterai perjanjian untuk menghantar 800 pencari suaka politik ke Malaysia dan sebagai balasan, Australia akan menerima 4,000 orang berstatus pelarian dari Malaysia untuk ditempatkan semula di negara itu dalam tempoh empat tahun. - Agensikosmo
No comments:
Post a Comment