Pages

Sunday, August 7, 2011

Jurutera maut, kereta rempuh belakang bas


BEGINILAH keadaan bas ekspres dan kereta Perodua Myvi yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 297.1, Lebuh Raya Utara Selatan, semalam.

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Tindakan dua lelaki yang menaiki sebuah kereta memaksa seorang pemandu bas ekspres berhenti di lorong kecemasan lebuh raya awal pagi ini mengundang padah apabila bas itu dirempuh oleh sebuah kereta lain mengakibatkan pemandunya terbunuh.
Kejadian pukul 1.30 pagi di Kilometer 297.1, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Bangi itu berlaku ketika bas tersebut dalam perjalanan dari Manjung, Perak ke Johor Bahru, Johor.
Bas itu kemudian dipintas dan diarah berhenti oleh kereta yang dinaiki oleh dua lelaki terbabit yang mendakwa kenderaan mereka telah bergesel dengan bas tersebut sebelum itu.
Sebaik sahaja bas tersebut berhenti, dua lelaki itu turun untuk memeriksa sisi kanan belakang kenderaan tersebut bagi mencari kesan geselan seperti didakwa mereka.
Tidak lama kemudian, sebuah kereta Perodua MyVi yang dipandu oleh seorang jurutera penyelenggara, Yoong Hou Chin, 36, gagal mengelak daripada merempuh belakang bas yang sedang berhenti itu sebelum kenderaannya terbabas dan melintang di tengah lebuh raya.
Difahamkan, salah seorang lelaki yang meminta bas ekspres berhenti sebelum itu turut mengalami kecederaan akibat rempuhan tersebut, tetapi dia bersama rakannya bertindak melarikan diri selepas kemalangan itu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, kemalangan itu menyebabkan Hou Chin yang bekerja sebagai jurutera penyelenggara di syarikat Numec Engineering, Jalan Klang Lama mati di tempat kejadian akibat cedera parah.
"Semasa kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang ke Seremban, Negeri Sembilan dari ibu negara, manakala bas ekspres membawa 17 penumpang dari Manjung menghala ke Johor.
"Bagaimanapun, semua penumpang bas itu tidak mengalami kecederaan dan meneruskan perjalanan dengan menaiki bas lain," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, hari ini.
Difahamkan, salah seorang daripada penumpang bas berkenaan adalah pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang sedang menjalankan tugas pemantauan terhadap pemandu bas ekspres dengan menyamar sebagai penumpang.
Abd. Rashid berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.utusan

No comments: