Pages

Tuesday, July 5, 2011

Yingluck tubuh kerajaan gabungan


pix_gal0
Lima parti bekerjasama tadbir negara, Abhisit lepas jawatan ketua Demokrat

BANGKOK: Parti Puea Thai yang memenangi majoriti kerusi di Parlimen pada pilihan raya umum Ahad lalu, mengumumkan akan menubuhkan kerajaan gabungan dengan empat parti kecil yang lain.
Keseluruhannya lima parti itu akan menguasai 299 daripada 500 kerusi di Parlimen, kata pemimpin Puea Thai, Yingluck Shinawatra yang akan muncul sebagai Perdana Menteri wanita pertama Thailand.
“Semua lima parti sudah bersetuju untuk bekerjasama mentadbir negara dan menyelesaikan masalah rakyat,” kata ahli perniagaan berusia 44 tahun itu yang dilihat sebagai proksi kepada abangnya, Thaksin yang digulingkan sebagai Perdana Menteri pada 2006 oleh tentera.

“Isu paling utama ialah bagaimana untuk menyatukan negara,” kata Yingluck pada sidang akhbar semalam.

Parti Puea Thai – yang digerakkan oleh Thaksin dari Dubai di mana beliau hidup dalam buangan untuk mengelak hukuman penjara di Thailand – memenangi 265 kerusi selepas semua undi dikira.

Jumlah itu melebihi 159 kerusi yang dimenangi parti Demokrat dipimpin Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva yang mengaku kalah selepas dua setengah tahun berkuasa.
Walaupun menguasai majoriti kerusi di parlimen, Puea Thai bertindak pantas menubuhkan kerajaan gabungan untuk melindungi majoritinya jika berlaku ahli Parlimen yang keluar parti atau dibatalkan kemenangannya.

Empat parti lain dalam gabungan itu ialah Chart Thai Pattana, Chart Pattana Pheupandin, Palangchon dan Mahachon.

Sementara itu, Abhisit meletak jawatan sebagai Ketua Parti Demokrat berkuat kuasa serta-merta.

“Sebagai pemimpin parti Demokrat semasa pilihan raya lalu, saya harus bertanggung jawab terhadap kekalahan ini dan sebagai pemimpin yang baik saya harus meletak jawatan,” kata Abhisit memberitahu sidang akhbar.

“Parti Demokrat akan mengadakan perhimpunan agung dalam 90 hari untuk memilih ketua baru,” katanya. – AFP/Agensi
  Berita Harian Online | Yingluck tubuh kerajaan gabungan

No comments: