KUALA LUMPUR 4 Julai - Empat hari sebelum Ahmad Sarbani Mohamed ditemui mati di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane pada 6 April lalu, Penolong Pengarah Kastam Selangor itu pernah memberitahu isterinya bahawa dia telah dianiaya oleh ejen berhubung baucer RM100.
Perkara itu didedahkan di Mahkamah Koroner di sini oleh isteri Ahmad Sarbani, Masiah @ Maziah Manap ketika memberi keterangan pada hari pertama inkues siasatan kematian suaminya di hadapan Koroner Aizatul Akmal Maharani.
Masiah, 50, selaku saksi inkues pertama berkata, Ahmad Sarbani memberitahunya, ejen terbabit mengaku mengambil RM70, sementara RM30 lagi didakwa telah diberikan kepada Allahyarham.
"Suami saya kata dia tidak tandatangan pun baucer itu dan tidak mengambilnya,'' kata Masiah ketika disoal oleh pegawai pengendali inkues Timbalan Pendawa Raya, Mohd. Abazafree Mohd. Abbas.
Menurut Masiah, perkara tersebut diberitahu oleh Ahmad Sarbani ketika mereka menunggu pesanan makanan di Pusat Beli Belah The Mines di Seri Kembangan sejurus suaminya dibebaskan daripada tahanan reman SPRM pada 2 April lalu.
Penyelia di Petronas itu juga berkata, ketua suaminya ada bertanya kepada Ahmad Sarbani apa yang berlaku dan Allahyarham ada memberitahu: "Ejen menganiaya kita.''
Bagaimanapun setakat ini, tiada penjelasan lanjut diberitahu mengenai baucer tersebut.
Saksi itu mengatakan, selain itu dia sendiri ada terdengar berita di televisyen pada tarikh yang sama mengenai Kastam memiliki jongkong emas.
Kata saksi itu, Ahmad Sarbani yang sepatutnya menunaikan fardu haji tahun ini bersamanya, bersumpah dia tidak mengambil sebarang habuan seperti yang didakwa oleh SPRM.
Mengimbas semula saat akhir kehidupan suaminya yang disifatkannya sebagai seorang yang tenang dan sabar serta banyak mengalah terutama ketika mereka berselisih faham, Masiah berkata, dari segi fizikal Ahmad Sarbani tidak menampakkan sebarang perubahan.
Namun katanya, dia nampak mental suaminya agak letih tetapi tidak kelihatan tertekan selepas dibebaskan dengan jaminan mulut sebanyak RM5,000 pada hari yang sama.
"Ahmad Sarbani tidak sedih, cuma dia kata sudah tua-tua pun kena tangkap, alamak tercalar prestasi kerja saya,'' kata Masiah.
Dia yang tinggal di kuarters Kastam sejak tujuh tahun lalu, sepanjang keterangannya, kerap kali meneguk air mineral yang dibawa bersamanya kerana tekaknya kering.
Pada awal keterangannya Masiah diminta supaya menyatakan harta sepencarian yang dimiliki sepanjang perkahwinannya bersama Ahmad Sarbani selama 28 tahun.
Menurut Masiah, atas namanya sendiri dia ada membeli sebuah apartmen di Bukit Tinggi Klang, Puncak Alam, tiga buah kenderaan iaitu Honda CRV terpakai, sebuah kereta Perodua Kancil (berusia sembilan tahun) dan sebuah kereta Proton Persona, sementara suaminya ada membeli sebuah rumah di Saujana Utama.
Menceritakan semula kehadirannya di SPRM pada 2 April lalu untuk berjumpa suaminya yang ketika itu diminta membantu siasatan, dia mendakwa telah terlebih dahulu 'disiasat' oleh pegawai penyiasat mengenai harta, kereta dan turut dipertikaikan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya.
"Sedangkan wang tersebut saya keluarkan ketika genap usia 51 tahun,'' kata wanita itu ketika disoal oleh peguam pemerhati yang mewakili keluarganya, Awtar Singh. Menurutnya, dia turut disoal oleh SPRM mengenai 11 buku simpanan bank miliknya.
Selepas berlaku beberapa pertikaian, menurut Masiah, dia telah menyusun geran kereta dan rumah untuk diberikan kepada Ahmad Sarbani supaya diserahkan kepada SPRM pada hari kejadian.
Namun begitu kata saksi, selepas jenazah suaminya dikebumikan, dia ternampak dokumen tersebut berada di atas meja di rumah mereka kerana Ahmad Sarbani tidak membawanya.
Bagi Masiah, suaminya seorang yang waras, tenang, tidak bersikap melulu dan bukannya seorang pemarah sambil menegaskan bahawa "Allah berjanji jika solat lima waktu, kita tidak akan mati dalam keadaan murtad."
Dalam prosiding inkues itu, Abazafree dibantu oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Hanim Rashid, Azlina Rasdi dan Nor Amalina Ismail, sementara SPRM diwakili peguam Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah dan Fadzillah Mohd. Ossman.
Peguam Salim Bashir mewakili Majlis Peguam Malaysia selaku peguam pemerhati.
No comments:
Post a Comment