Pages

Tuesday, July 5, 2011

Parti adik Thaksin akan bentuk kerajaan campuran

YINGLUCK SHINAWATRA (kanan) disambut oleh beberapa penyokongnya sebelum dia mengadakan mesyuarat dengan para pemimpin empat parti politik di sebuah hotel di Bangkok semalam.


BANGKOK - Parti Pheu Thai akan membentuk kerajaan campuran dengan empat parti politik lain bagi memastikan kerajaan stabil, kata calon perdana menteri, Yingluck Shinawatra daripada parti berkenaan semalam.

Pheu Thai yang memenangi 265 kerusi pada pilihan raya umum kelmarin, akan bekerjasama dengan Chart Thai Pattana yang mendapat 19 kerusi parlimen, Chart Pattana Pueu Pandin (tujuh kerusi), Phalang Chon (tujuh kerusi) dan Mahachon (satu kerusi).

"Dengan 299 kerusi, kerajaan campuran stabil sepenuhnya untuk bekerjasama dan berkhidmat kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat dengan parti-parti itu di sini semalam.

Pemimpin Pheu Thai, Yongyuth Wichaidit, penasihat Chart Thai Pattana, Mejar Jeneral Sanan Kajornprasart, pemimpin parti Chart Pattana Puea Pandin, Wannarat Charnnukul dan pemimpin Phalang Chon, Chao Maneewong hadir pada mesyuarat itu.

Yingluck berkata, agenda segera kerajaan baharu ialah untuk bekerja ke arah mencapai penyatuan rakyat dan menangani masalah ekonomi khasnya mengenai kenaikan harga barang dan komoditi.

"Kita juga akan memulihkan hubungan dua hala dengan negara jiran kita," katanya yang jelas merujuk pada hubungan Thai-Kemboja.

Hubungan kedua-dua negara agak renggang kebelakangan ini akibat konflik sempadan.

Beliau berkata, kesemua lima parti komponen berkongssi aspirasi yang sama untuk membawa negara ini ke mercu pembangunan baharu dan kestabilan untuk manfaat rakyat.

Mengikut Perlembagaan Thai, Parlimen perlu mengadakan sesi sidang pertamanya dalam masa 30 hari dari hari pilihan raya dan kemudian akan memilih perdana menteri menerusi proses pengundian di parlimen sebelum kerajaan baharu boleh dibentuk. - Bernama

Kosmo! Online - Dunia

No comments: