BRUSSEL: Nato akan terus membedil Libya untuk memaksa pemimpin negara itu Muammar Gadaffi berhenti mengancam nyawa rakyatnya, walaupun ketika umat Islam di dunia berpuasa di bulan Ramadan.
“Kami akan mengambil langkah tunggu dan lihat. Kami akan bertindak sekiranya tentera Gadaffi terus mengancam nyawa orang awam,” kata Komander Udara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) Mike Bracken ketika ditanya sama ada mereka akan teruskan operasi membedil Libya walaupun di bulan Ramadan, yang akan disambut bulan depan.
Pihak Nato masih berharap satu penyelesaian pragmatik dapat dicapai secepat mungkin.
Jurucakap Nato, Oana Lungescu berkata Negara-Negara Perikatan mahu tentera Gadaffi menghentikan serangan mereka, bukan saja di dalam bulan Ramadan tetapi dengan serta merta dan mahu melihat ada kemajuan dari mesyuarat yang diadakan dengan Kumpulan Perhubungan di Istanbul, Jumaat lepas.
“Mesti ada penyelesaian politik untuk konflik ini. Lebih cepat, lebih baik.”
“Kumpulan Perhubungan dapat memberi sumbangan yang penting untuk mendapatkan penyelesaian politik yang dapat memenuhi aspirasi rakyat Libya,” kat Lungescu.
Setiausaha agung NATO, Anders Fogh Rasmussen yang akan menghadiri mesyuarat bersama dengan menteri-menteri luar dari Barat, Kerajaan Arab dan ketua pemimpin Penentang Libya, berharap mereka akan dapat memberi idea untuk mencapai penyelesaian yang pragmatik.
Minggu lepas Timbalan Menteri Luar Libya, Khaled Karim berkata penyelesaian kepada konflik di negara itu mesti dicapai sebelum bulan Ramadan bermula. Manakala, Menteri Luar Turki Ahmet Davutoglu berharap satu kerangka untuk penyelesaian dapat dicari.
Kelmarin, Menteri Luar Perancis Alain Juppe berkata, satu perbincangan besar akan dibuat untuk menyelesaikan krisis ini dan menurut “wakil” mereka, ketua pemerintah Libya itu sudah bersedia untuk melepaskan kuasanya. - AP
No comments:
Post a Comment