PADANG SERAI – Kemiskinan memaksa sebuah keluarga di Kampung Terap Batu dekat sini menumpang teduh di sebuah bangsal usang yang menjadi sarang burung walit sejak empat tahun lalu.
Itulah yang mampu disediakan Sukri Yusuf, 40, bagi memastikan keselesaan isteri, Noorlaila Asyikin Md. Nor, 28, dan tiga anak mereka, Mohd. Dainal Zamil, 7, Mohd. Dinas Haikal, 4, dan Mohd. Harif Iskandar, 3.
Bangsal berdinding papan beratapkan zink itu milik seorang pengusaha Cina yang simpati dengan nasib keluarga malang itu lalu membenarkan mereka menumpang di situ.
Menurut Sukri, upah yang diterima sebagai pembantu kedai runcit di Tanjung Belit tidak jauh dari rumahnya hanya cukup untuk menampung belanja dapur dan tidak mampu menyewa sebuah rumah yang sempurna.
“Sebelum ini bekerja kampung tetapi pendapatan tidak menentu. Memang impian saya ingin sediakan rumah yang selesa kepada keluarga tetapi apakan daya inilah sahaja yang saya mampu.
“Bekalan air ke rumah ini pun dapat dari rumah seorang jiran tetapi saya tetap bersyukur kerana mempunyai tempat berteduh walaupun hanya sebuah bangsal burung,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment