Pages

Thursday, July 14, 2011

Penduduk desak tentera Mesir berundur

KAHERAH 13 Julai - Beribu-ribu rakyat Mesir berarak di pusat bandar di sini semalam bagi mendesak Majlis Angkatan Bersenjata Mesir diundurkan.

Perarakan tersebut, saki baki daripada pemberontakan yang menyaksikan penggulingan bekas Presiden Hosni Mubarak pada 11 Februari lalu, diadakan ekoran majlis tersebut memberi amaran bahawa akan menggunakan semua tindakan undang-undang untuk menamatkan demonstrasi di Dataran Tahrir.

Dalam pada itu, sumber tentera hari ini berkata, pilihan raya Parlimen Mesir hanya akan diadakan November ini, lewat dua bulan daripada tarikh yang dicadangkan sebelum ini.

Sumber itu berkata, pendaftaran calon-calon akan bermula pada September ini, yang menunjukkan kerajaan tentera melaksanakan komitmennya untuk menyerahkan kuasa kepada rakyat.

''Prosedur untuk melangsungkan pilihan raya Parlimen akan bermula pertengahan September, Ia akan melibatkan pendaftaran calon-calon, kemudian waktu berkempen. Ini akan memakan masa melebihi September,'' kata sumber itu kepada Reuters.

Penunjuk perasaan melaungkan ''Pemerintah tentera perlu digulingkan' ketika berarak dari Dataran Tahrir ke arah pejabat Perdana Menteri.

Mereka turut melaungkan 'Rakyat mahu ketua pemerintah tentera diundurkan,'' merujuk kepada pemimpin majlis tersebut, Mohammed Hussein Tantawi yang merupakan Menteri Pertahanan di bawah Mubarak selama dua dekad.

Tunjuk perasaan yang bermula sejak Jumaat lalu semakin meningkat ekoran demonstrasi besar-besaran terhadap peningkatan harga barangan, kemiskinan, pengangguran dan pemerintahan autoritarian.

Mereka marah kelambatan untuk membicarakan Mubarak dan pegawai rejim yang didakwa menerima rasuah.

Penunjuk perasaan juga mahukan perubahan dilaksanakan di negara itu dengan segera.

Demonstrasi juga diadakan di Iskandariah dan Suez.

Mubarak yang kini ditahan di sebuah hospital di Sharm el-Sheikh dijangka dibicarakan atas dakwaan lebih 840 penunjuk perasaan ketika pemberontakan rakyat pada 3 Ogos lalu.

Perdana Menteri, Essam Sharaf cuba mengurangkan ketegangan dengan menjanjikan rombakan Kabinet dan mengarahkan perubahan dalam Kementerian Dalam Negeri namun ditolak penunjuk perasaan. - Reuters

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: