KUALA TERENGGANU – Sebanyak 15 ekor penyu agar yang dipercayai terperangkap dalam pukat pari semasa hendak naik ke pantai untuk bertelur ditemui mati di pantai Terengganu sejak Januari hingga Jun tahun ini.
Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Zakaria Ismail berkata, berikutan itu pihaknya telah merampas 113 bidang pukat pari dalam operasi pemusnahan pukat pari sejak Mac hingga Jun lalu.
“Kita percaya penyu-penyu itu dicampak keluar oleh nelayan-nelayan pukat pari sebelum dihanyutkan ke pantai,” katanya kepada Bernama di sini semalam.
Zakaria berkata, pihaknya sedang meningkatkan operasi memusnahkan pukat-pukat pari sepanjang pantai Terengganu di samping banyak menerima aduan daripada pencinta-pencinta penyu tentang kegiatan nelayan pukat pari di negeri itu.
Pada perkembangan lain, jabatan berkenaan telah berjaya melepaskan sebanyak 26,766 ekor anak penyu agar yang baru menetas ke laut sejak Mac hingga Jun lalu.
No comments:
Post a Comment