Pages

Wednesday, July 6, 2011

Polis temui anggota badan dikerat dan dibakar

MISTERI REMAJA HILANG
JOHOR BAHRU: Misteri kehilangan seorang remaja perempuan sejak tiga minggu lalu di Pekan Seri Alam, di sini, terjawab apabila polis menemui beberapa anggota badan dikerat dan dibakar di dua lokasi berasingan di Masai dan Ulu Tiram petang Ahad lalu.

Polis menemui anggota badan yang dipercayai milik bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Universiti dekat Skudai, Nurrahayu Qomarodin Bajuri, 16 tahun, kira-kira 5 petang di sebuah perkuburan Hindu di Masai dan ladang sawit di Sungai Tiram, Ulu Tiram, dekat sini.

Malah, polis menemui serpihan tulang selain pakaian milik remaja perempuan itu, yang hilang dari sebuah tapak pembinaan berhampiran tempat kerja bapanya di Pekan Seri Alam selepas dihantar pulang teman lelakinya kira-kira 2 pagi 14 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Roslan Zainuddin, ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat yang dipercayai mangsa yang dibunuh dengan anggota badan dikerat dan dibakar.

Menurutnya, polis telah menemui serpihan tulang terbakar serta beberapa bukti termasuk baju, seluar, selipar dan penyepit rambut, dan hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) menunjukkan ia sepadan dengan mangsa.

'Sehubungan itu, polis menahan reman suspek utama iaitu seorang pengawal keselamatan berusia 46 tahun mulai hari ini (kelmarin).

'Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit bersalah,' kata beliau yang enggan mengulas sama ada mangsa turut dirogol sebelum dibunuh.

Sabtu lalu, pihak media di Malaysia melaporkan tentang kehilangan Nurrahayu secara misteri selepas dihantar pulang teman lelakinya.

Namun, kakaknya, Cik Wayaaliasanti, 19 tahun, mendedahkan bahawa mangsa dikatakan menjerit meminta teman lelakinya mengambilnya semula, tetapi tidak dihiraukan lelaki berkenaan.

Sementara itu, ibu angkat Nurrahayu, yang juga dikenali sebagai 'Ayu', Cik Juliana Jumail, 35 tahun, berkata beliau tidak sangka anak kesayangan keluarganya itu ditimpa nasib malang apabila ditemui dalam keadaan menyayat hati petang Ahad lalu.

'Ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Aminah untuk membuat pengecaman mayat selepas dihubungi polis, kami bukan saja bimbang, malah sebak mengenangkan nasib Ayu.

'Saya yakin mayat yang ditemui itu milik Ayu berdasarkan keadaan fizikalnya selain penyepit rambut bercorak bunga yang gemar dipakainya, yang dijumpai di tempat kejadian,' kata beliau. -- BHM, Harian Metro.

Cyberita Online Luar Negara

No comments: