Pages

Wednesday, July 6, 2011

Bekas Pengarah Urusan IMF mahu saman wartawan wanita


PARIS 5 Julai - Bekas Pengarah Urusan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Dominique Strauss-Kahn berhasrat menyaman seorang wartawan wanita Perancis, selepas wanita itu menyatakan dia bakal memfailkan satu aduan cubaan rogol terhadapnya.

Peguam wartawan itu, David Koubbi memberitahu laman web majalah L'Express, Tristane Banon, 32, yang pernah melabel Kahn sebagai 'cimpanzi mengawan', akan mengemukakan satu aduan berhubung cubaan rogol kepada pendakwa raya.

Bagaimanapun, bekas Pengarah Urusan IMF itu yang meletak jawatan selepas didakwa atas tuduhan serangan seksual di New York, menafikan dakwaan Banon dengan menyatakan ia hanyalah 'satu rekaan', kata peguamnya Henri Leclerc dan Frederique Baulieu kepada AFPdalam satu kenyataan.

Peguam itu berkata, mereka sedang dalam proses mengumpul maklumat bagi mendakwa wanita tersebut atas tuduhan memfitnah.

Dakwaan jenayah baru ke atas Kahn itu dibuat ketika kesnya di New York mungkin digugurkan apabila pendakwa raya mendedahkan mereka meragui kredibiliti pengadu, seorang pekerja hotel wanita yang mendakwa dia diserang secara seksual.

Mengambil kira perkembangan kes di New York, peguam Kahn berkata, aduan Banon dibuat ketika tuduhan terhadap bekas Pengarah Urusan IMF itu di Amerika Syarikat (AS) diragui kebenarannya serta menimbulkan kesangsian.

Koubbi dalam pada itu memberitahu AFPTV, anak guamnya mengambil keputusan memfailkan dakwaan itu kerana dia yakin dapat mempertahankan tuduhan tersebut.

Wartawan itu menjelaskan kepada laman web L'Express, dia sakit hati melihat Kahn boleh menikmati makanan di restoran mewah bersama rakan-rakan tidak lama selepas dibebaskan daripada tahanan rumah.

Pada Februari 2007, Banon muncul sebagai tetamu di sebuah rancangan temu bual televisyen untuk menceritakan bagaimana seorang ahli politik kanan telah mengumpannya ke sebuah pangsapuri kosong dengan alasan untuk ditemu ramah, sebaliknya telah menyerangnya secara seksual.

Dalam rancangan tersebut yang disiarkan, nama pemimpin itu yang disebut Banon telah dipotong, tetapi setahun kemudian wartawan wanita itu mengesahkan kepada laman web AgoraVox dia merujuk kepada Kahn. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: