Pages

Wednesday, July 6, 2011

Israel beku hantar 84 jenazah pejuang Palestin



Seorang wanita memegang potret anak perempuannya, Hanadi Jaradat yang terbunuh di bandar Jenin, Tebing Barat, semalam. Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak telah membekukan rancangan penghantaran 84 jenazah pejuang Palestin yang terbunuh sejak 1967. - Agensi


BAITULMAQDIS 5 Julai - Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak bertindak membekukan rancangan untuk menyerahkan 84 jenazah pejuang Palestin yang maut sejak 1967.

Pejabat Menteri Pertahanan berkata, Barak mengarahkan dialog dengan Palestin mengenai kemungkinan penyerahan jenazah berkenaan dibekukan.

''Ia kerana penyerahan mayat itu dilihat tidak bersesuaian ekoran rundingan pembebasan askar Israel, Gilad Shalit dan rundingan lain masih berlangsung,'' kata pejabat Menteri Pertahanan dalam satu kenyataan, hari ini.

Campur tangan Barak itu berlaku beberapa jam selepas tentera mengesahkan pemindahan berkenaan yang diluluskan oleh Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, baru-baru ini.

Jurucakap Kementerian Pertahanan, Barak Seri berkata, keputusan untuk membeku rancangan penyerahan jenazah itu telah mendapat persetujuan Netanyahu.

Keputusan untuk membekukan penyerahan jenazah itu mendapat sokongan Menteri Risikan, Dan Meridor yang merupakan anggota kanan Kabinet Netanyahu.

Maklumat penyerahan jenazah itu didedahkan semalam oleh Menteri Hubungan Sivil Palestin, Hussein al-Sheikh yang menyatakan 84 pejuang tersebut merupakan mereka yang terbunuh dalam pertempuran atau serangan berani mati sejak 1967. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: