Pages

Wednesday, July 6, 2011

Gaddafi sedia lepas kuasa



Seorang anggota pemberontak melepaskan tembakan daripada senjata anti-pesawat. Senjata itu dirampas dari bengkel tentera Gaddafi di Benghazi pada 30 Jun lalu. - REUTERS


MOSCOW 5 Julai - Akhbar Rusia hari ini melaporkan pemimpin Libya, Muammar Gaddafi bersedia melepaskan kuasa sebagai pertukaran kepada jaminan keselamatan.

Akhbar Komersant memetik seorang pegawai kanan Rusia sebagai berkata, beberapa negara termasuk Perancis sedia beri jaminan berkenaan.

Laporan itu disiarkan sehari selepas usaha untuk mencari jalan bagi menamatkan perang di Libya menjadi fokus rundingan Rusia dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Anders Fogh Rasmussen dan Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma di pusat peranginan Sochi, Rusia.

"Kolonel (Gaddafi) bersedia melepaskan kuasa jika mendapat jaminan keselamatan," kata pegawai kanan Rusia yang dipetik oleh Kommersant.

Menurut laporan itu, Gaddafi juga mahu anaknya, Saif al-Islam dibenarkan bertanding dalam pilihan raya umum jika dia berundur, syarat yang tidak akan diterima oleh pihak pemberontak Libya.

Kerajaan Libya semalam mengaku mengadakan rundingan dengan tokoh pemberontak, tetapi pemberontak tidak berganjak daripada pendirian mereka berhubung nasib Gaddafi.

Saif al-Islam memberitahu sebuah akhbar Perancis, rundingan tidak mungkin diadakan bagi menamatkan pemerintahan bapanya.

Pentadbiran pemberontak, Majlis Peralihan Negara pula menarik balik kenyataannya bahawa Gaddafi boleh terus tinggal di Libya jika beliau melepaskan kuasa sepenuhnya. - Reuters

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: