KUALA TERENGGANU – Pilu hati seorang bapa apabila melihat anak kembar perempuannya rentung dalam keadaan berpelukan selepas gagal menyelamatkan diri dari rumah mereka yang terbakar di Kampung Durian Mas, Manir dekat sini semalam.
Kejadian pukul 9.15 pagi di rumah kos murah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) itu menyebabkan dua kanak-kanak malang masing-masing berusia tiga tahun, Nur Fatin Farhana dan Nur Fatin Farhanah mati di lokasi kejadian selepas rentung lebih 50 peratus.
Sebelum kejadian, kedua-dua mangsa sedang bermain di dalam bilik manakala bapa mereka, Hamid Mustafa, 40, sedang tidur di ruang tamu manakala ibu mereka, Suriyani Sulong, 40, sedang bekerja sebagai tukang cuci di Sekolah Menengah Agama Khairiah di sini.
Difahamkan, Hamid yang menganggur dan menghidap penyakit sawan tidak berupaya untuk berjalan jauh.
Mengimbau semula kejadian itu, Hamid memberitahu, dia menyedari berlaku kebakaran selepas terdengar jeritan sepupunya, Wan Norizan Ismail, 40, yang tinggal di kawasan sama mengatakan kepulan asap keluar dari tingkap bilik.
Katanya, dia cuba bangun untuk mendapatkan pasangan anak bongsu daripada tujuh beradik itu tetapi gagal kerana api yang semakin marak.
“Saya sedih kerana tidak mampu menyelamatkan mereka kerana kesihatan saya tidak mengizinkan. Saya cuba membawa mereka keluar dari bilik itu tetapi tidak mampu,” ceritanya di sini semalam.
Tambahnya, pasangan kembar itu jarang bermain di dalam bilik kerana mereka lebih gemar bermain di ruang tamu dan luar rumah.
“Malam sebelum kejadian, mereka langsung tidak mahu tidur walaupun sudah pukul 4 pagi hinggakan isteri saya terpaksa melayan mereka,” katanya lagi.
Sementara itu, Wan Norizan berkata, dia terus menjerit nama pasangan kembar itu untuk menyuruh mereka keluar sebaik ternampak asap.
“Selepas tidak nampak kelibat kanak-kanak itu, saya mencari bapanya yang berada di ruang tamu. Selepas api padam, anggota bomba menemui mereka yang sudah rentung itu sedang berpelukan,” katanya.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Mohd. Ridzuan Hassan berkata, kedua-dua mangsa dipercayai meninggal dunia kerana lemas akibat kepulan asap selain melecur.
No comments:
Post a Comment