Pages

Monday, July 18, 2011

Isteri tukar kunci rumah diugut tetak


AMPANG: Hanya kerana isteri bertindak menukar kunci mangga jeriji rumah kondominium mereka di Bukit Indah, di sini, tanpa pengetahuannya, seorang suami sanggup memaki hamun dan mengugut mahu menetak isterinya itu dengan parang.
Menurut sumber, wanita berusia 35 tahun itu menukar kunci pintu berkenaan selepas suaminya dipercayai tidak pulang ke rumah mereka sejak lebih enam bulan lalu.

Difahamkan, suaminya itu meninggalkan isterinya sendirian di rumah selepas dia bermain cinta dengan seorang wanita lain dan tinggal bersama wanita itu.

Malah, mangsa dikatakan mengalami tekanan perasaan berikutan tindakan suaminya yang sering memukulnya dan berlaku curang di depan mangsa tanpa segan silu sejak mereka berkahwin setahun lalu.

“Marah dengan kecurangan dan sikap tidak bertanggungjawab suaminya itu, mangsa dikatakan bertindak menukar kunci rumah mereka itu selain bimbang keselamatannya.


“Bagaimanapun, sebaik suami mangsa pulang ke rumah mereka kira-kira jam 4 petang Rabu lalu, lelaki itu gagal membuka kunci berkenaan dan tidak boleh masuk ke rumah,” katanya.

Sumber berkata, suami mangsa kemudian menghubungi isterinya itu yang sedang bekerja dan bertindak memarahi dan memaki hamun selain menyuruh mangsa pulang ke rumah membuka pintu.


“Mangsa yang sarat mengandung bimbang di apa-apakan suaminya itu enggan pulang ke rumah menyebabkan mereka bertengkar melalui telefon.

“Suami mangsa yang berang dengan tindakan itu mengugut mahu memukul dan menetak mangsa menggunakan parang,” katanya.

Menurutnya, berikutan ugutan suaminya itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Ampang Jaya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
myMetro | Isteri tukar kunci rumah diugut tetak

No comments: