Pages

Monday, July 18, 2011

3 maut kereta langgar tiang



Foto
TIGA maut selepas kereta terbabas di KM 35.5 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Serdang, semalam. Gambar kecil, mayat mangsa yang terbunuh. Gambar kecil, Zulkifle Zainul (kiri) dan Nur Nazirah Sungip.
Kenderaan dinaiki 10 orang ziarah saudara sakit dipercayai hilang kawalan
Foto
Zulkifle Zainul (kiri) dan Nur Nazirah Sungip.


SERDANG: Tindakan 10 sekeluarga menaiki sebuah kereta Proton Wira membawa padah apabila kereta itu hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh lampu jalan di Kilometer 35.5 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) dekat sini, malam kelmarin, mengakibatkan sepasang suami isteri dan anak mereka maut, manakala tujuh yang lain cedera.
Kemalangan jam 11.50 malam itu berlaku ketika keluarga berkenaan dalam perjalanan pulang ke Taman Seri Intan, Kajang selepas menziarah seorang saudara yang dirawat di Hospital Pusat Rawatan Islam (PUSRAWI) di ibu negara.
Mangsa yang meninggal dunia ialah pemandu kereta, Zulkifle Zainul, 29, yang bekerja sebagai vendor di Utusan Melayu (M) Berhad; isterinya, Nur Nazirah Sungip, 20, dan anak mereka, Mohd Danish Adam, dua.

Dalam kemalangan itu, kakak Nur Nazirah, Nur Atikah Sungip, 29, patah pinggang, manakala adiknya, Nur Khairuddin, 12, patah kaki kanan dan pundi kencing pecah.

Lima lagi yang cedera ialah Nur Jumaatun Shuhaida, 24; anaknya, Mohd Amirul Aiman Mohd Nur Alif, satu; Nur Effendi, 17; Nurul Asyura, 7 dan Nor Shahidatul Shafiqa, 4.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abdul Razak Elias, berkata kemalangan berlaku apabila kenderaan yang melebihi muatan dan dipandu Zulkifle hilang kawalan dan terbabas di sebelah kiri jalan sebelum merempuh lampu jalan.
“Akibat rempuhan kuat itu, semua 10 bersaudara itu tercampak keluar kereta, menyebabkan Zulkifle dan anaknya, Mohd Danish mati di tempat kejadian, manakala Nur Nazirah meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Serdang,” katanya.

Menceritakan kejadian itu, Nur Effendi yang cedera di tangan berkata, beliau mendengar jeritan kakaknya, Nur Nazirah yang melaungkan nama suaminya ketika kereta berpusing beberapa kali sebelum tercampak keluar.

Nur Effendi berkata, mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang ke rumah di Kajang selepas menziarahi bapa saudara yang tenat di PUSRAWI.

Jenazah semua mangsa dibawa ke Jengka 4, Pahang, petang semalam untuk pengebumian.
Berita Harian Online | 3 maut kereta langgar tiang

No comments: