Pages

Monday, July 18, 2011

Guru tidak gentar disaman GISB

KUALA LUMPUR - Bekas pengikut Al-Arqam, Zawawi Aman, 44, menegaskan dia tidak takut disaman oleh Global Ikhwan Sdn. Bhd. (GISB) berikutan dakwaannya mengatakan mereka bertanggungjawab melarikan isteri dan enam anaknya pada 25 Jun lalu.

Sebaliknya, Zawawi memberitahu, dia akan membuat lebih banyak lagi pendedahan mengenai penyelewengan dalam kumpulan itu demi akidah anak-anak dan isterinya.

"Saya tidak takut disaman kerana saya ada hak ke atas semua anak-anak dan isteri," tegasnya ketika dihubungi semalam.

Tambah Zawawi lagi, dia akan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk membawa ahli keluarganya kembali ke pangkal jalan.

Zawawi berkata demikian sebagai mengulas tindakan GISB yang menafikan dakwaan guru itu.

Ahli Lembaga Pengarah GISB, Zulkifli Awang Kecik, dalam satu kenyataan yang difakskan kepada media semalam berkata, pihaknya meminta Zawawi menarik semula dakwaan atau menghadapi tindakan undang-undang.

"Apa yang didakwa Zawawi tidak benar. Isteri dan tiga anaknya pergi ke Mesir untuk menyambung pengajian manakala tiga lagi anaknya masih ada di negara ini," katanya.

Kosmo! Online - Negara

No comments: