Pages

Tuesday, July 26, 2011

Bayi rentung dalam rumah


PILU...ibu mangsa, Rapillah Rabaie tidak dapat menahan kesedihan.
PILU...ibu mangsa, Rapillah Rabaie tidak dapat menahan kesedihan.



KUCHING: “Sebaik tiba di rumah, saya cuba meredah api untuk menyelamatkan anak kecil saya selepas dimaklumkan dia terperangkap, tetapi gagal berikutan api marak begitu cepat.”
Demikian kata Salleh Hamid, 38, selepas bayi lelakinya yang berusia 15 bulan, Mohd Shahfizan, rentung apabila rumah mereka di Taman Malihah, di sini, terbakar kira-kira jam 4.45 petang semalam.

Menceritakan peristiwa sedih itu, Salleh, buruh yang bekerja di Batu 4 1/2, dekat sini, berkata ketika kejadian dia bekerja sebelum menerima panggilan kecemasan daripada seorang jiran memaklumkan rumahnya terbakar.

“Tanpa berlengah, saya memecut motosikal pulang ke rumah. Sebaik tiba di sebuah jambatan tidak jauh dari rumah, saya melihat kepulan asap di udara yang datang dari rumah saya.

“Dalam hati terdetik mengatakan pasti semua barangan gagal diselamatkan dan tidak sangka seorang anak saya masih terperangkap di dalam rumah,” katanya.


Salleh berkata, ketika kejadian, semua lapan anaknya tidur termasuk Mohd Shahfizan.

Menurutnya, anak sulungnya, Norliana tidak sempat menyelamatkan adiknya kerana terlalu takut dan panik berikutan api marak cepat, malah jiran turut menghulurkan bantuan, tetapi gagal.

“Ketika kejadian, semua anak saya berada di rumah manakala isteri berniaga cucur pisang tidak jauh dari rumah,” katanya yang mempunyai lapan anak berusia 15 bulan hingga 17 tahun.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya, Terry Robson berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang ramai jam 4.49 petang sebelum tiba di tempat kejadian 11 minit kemudian.

“Seramai 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya dan tujuh dari Batu Lintang bergegas ke tempat kejadian dan memadam api sepenuhnya jam 6 petang,” katanya.
myMetro | Bayi rentung dalam rumah

No comments: