OSLO: Rakyat Norway semalam bertafakur untuk memperingati mangsa pengeboman dan tembakan sementara lelaki yang dituduh melakukan pembunuhan itu dihadapkan ke mahkamah tertutup di bandar raya ini.
Ketika negara itu berusaha menangani kesan tragedi paling buruk selepas perang, beribu-ribu orang menundukkan kepala sambil berdiam diri di luar universiti utama Oslo pada majlis tafakur yang diketuai Perdana Menteri, Jens Stoltenberg dan Raja Harald V.
“Untuk memperingati mangsa yang terbunuh di ibu pejabat kerajaan dan di Pulau Utoeya, saya mengisytiharkan majlis tafakur selama seminit,” kata Stoltenberg, tepat 12 tengah hari, sebelum merasmikan buku ucapan takziah.
Stesen kereta api seluruh Norway ditutup sementara pasaran saham menghentikan urus niaga.
Negara jiran, Sweden, Denmark dan Iceland juga mengadakan upacara itu dan mengibarkan bendera kebangsaan masing-masing separuh tiang.
“Ia adalah serangan terhadap nilai yang digunakan untuk membina negara kita. Ia adalah serangan terhadap kita semua,” kata Perdana Menteri Denmark, Lars Loekke Rasmussen.
Suspek, Anders Behring Breivik mengaku melakukan pembunuhan itu tetapi menafikan melakukan jenayah, kata peguamnya.
Pelampau Kristian berusia 32 tahun itu dihadapkan kemahkamah atas tuduhan meletupkan bom kereta yang menyebabkan tujuh orang mati dan menembak mati 86 remaja yang dikatakannya sudah dirancang sejak sekian lama.
Dia mengaku melakukan pembunuhan itu bersendirian.
Seorang pegawai mahkamah berkata, hakim mengarahkan perbicaraan dilakukan secara tertutup, bertentangan dengan kehendak Breivik.
Peguamnya, Geir Lippestad berkata sebelum ini, pelampau Kristian itu mempunyai dua permintaan: “Pertama, dia dibicarakan secara terbuka dan kedua, dia mahu menghadiri perbicaraan dengan berpakaian seragam.” Sebelum melakukan keganasan, Breivik menulis manifesto setebal 1,500 mula dengan mendakwa dia seorang daripada 80 penyerang bersendirian yang diambil dari seluruh dunia untuk menggulingkan kerajaan di Eropah Barat yang bertolak ansur terhadap Islam.
Breivik mengaku tindakannya akan dilihat sebagai kejam tetapi berkata, ia bertujuan menamatkan penjajahan Islam di Eropah.
Kejadian itu mendorong gesaan supaya Norway melaksanakan semula hukuman mati.
Hukuman penjara maksimum di negara itu ialah 21 tahun. Ini bermakna, jika didapati bersalah, dia akan dipenjarakan selama 82 hari untuk setiap pembunuhan. - Reuters
No comments:
Post a Comment