Pages

Tuesday, July 26, 2011

Penculik hantar SMS ancam sembelih Nazar


SITI HAMDAH menunjukkan SMS yang dihantar penculik.
SITI HAMDAH menunjukkan SMS yang dihantar penculik.


Keluarga makin buntu kumpulan desak bayar segera wang tebusan

KUALA LUMPUR: Keluarga Mohd Nazarrudin Saidin, 38, yang masih dalam tahanan kumpulan penculik di selatan Filipina, trauma selepas menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada kumpulan itu mengancam akan menyembelih mangsa jika wang tebusan tidak dibayar secepat mungkin.

Terdesak dengan perkembangan terbaru itu, bapa Mohd Nazarrudin, Saidin Aziz bersama isteri, Siti Hamdah Ahmad dan seorang lagi anak mereka, Mohd Lukman Saidin bergegas ke pejabat Kelab Putera 1Malaysia merayu bantuan Pengerusinya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim membantu menyelamatkan Nazaruddin.
“Saya sudah hilang punca, tidak tahu ke mana hendak meminta tolong. Saya sudah ke sana ke mari menagih simpati tetapi tiada pihak yang benar-benar membantu.
“Kini hanya kelab ini harapan saya... bantulah kami. Saya merayu kepada Datuk (Abdul Azeez),” kata Siti Hamdah menahan sebak ketika ditemui di di pejabat kelab di sini, semalam.

Mohd Lukman pula berkata, dia sempat bercakap beberapa patah dengan Nazarrudin, Jumaat lalu sewaktu mangsa menghubunginya.
“Saya mendapat panggilan daripada kumpulan itu pada sebelah pagi tetapi saya berkata, saya mahu bercakap dengan abang saya untuk mengesahkan ia panggilan daripada kumpulan penculik.

“Pada sebelah petang, abang menghubungi saya - ‘Man, kau telefon abang balik’. Hanya itu saja perbualan kami dan apabila saya menghubungi semula nombor itu, seorang lelaki yang bercakap dialek Sabah menjawab dan enggan membenarkan saya bercakap dengan abang, sebaliknya meminta kami segera menyediakan wang tebusan.
“Saya memberitahu kami tidak mampu, kami bukan dari keluarga kaya. Lelaki itu berkata, wang tebusan perlu dirundingkan dengan komander mereka. Keesokannya, saya menerima SMS mengancam mahu menyembelih abang jika gagal membayar tebusan seperti diminta,” katanya.

Mohd Nazarrudin ditahan kumpulan penculik sejak 8 Mei lalu ketika berada di Jolo, selatan Filipina untuk mendapatkan cicak tokek.

Sementara itu, Abdul Azeez, berkata beliau amat terharu dengan kepercayaan yang diberikan keluarga mangsa dan akan segera menghubungi semua pihak yang berkaitan bagi memudahkan urusannya berlepas ke Filipina bagi merundingkan pembebasan Nazarrudin. Berita Harian Online | Penculik hantar SMS ancam sembelih Nazar

No comments: