NEW YORK - Seorang wakil rakyat Amerika Syarikat (AS) di New York, Anthony Weiner kelmarin mengaku menghantar gambar yang menunjukkan dia memakai seluar dalam.
Sebelum ini dia menafikan pernah menghantar gambar dirinya memakai seluar dalam kepada seorang wanita di Seattle menerusi akaun Twitter.
Dia membuat pengakuan pada satu sidang akhbar di sini. Pada sidang akhbar itu, dia juga mengaku membuat panggilan lucah kepada beberapa wanita muda.
Bagaimanapun, dia yang berusia 46 tahun dan sudah berkahwin enggan meletakkan jawatan sebagai Ahli Kongres New York setelah membuat pengakuan tersebut.
Sebelum pengakuan tersebut, Weiner mendakwa berlaku penggodaman komputer menyebabkan gambar berkenaan disiarkan di Internet.
Namun pada satu sidang akhbar tersebut, Weiner yang sebak berkata: "Gambar itu adalah diri saya dan saya yang menghantarnya."
Menurutnya, dia berasa amat kesal ekoran kejadian yang telah berlaku itu.
Weiner berkata, dia pernah menghantar gambar-gambar tidak senonoh di Internet dan bersembang lucah de-ngan enam wanita sejak beberapa tahun lalu.
Dia berkata, wanita-wanita itu kemudian menjadi rakan baiknya.
Bagaimanapun, Weiner berkata, dia tidak pernah bertemu dengan mereka dan tidak mempunyai sebarang hubungan seks di luar perkahwinan.
Salah satu gambar yang menunjukkan dia tidak memakai baju juga didakwa laman BigGovernment.com telah dihantar kepada seorang wanita menerusi Internet.
Isterinya, Huma Abedin bekerja sebagai pembantu Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton.
Weiner merupakan wakil rakyat yang sudah berkhidmat selama tujuh tahun dan sebelum ini menjadi calon pilihan utama untuk menjadi Datuk Bandar New York pada 2013. - Agensi
No comments:
Post a Comment