Pages

Wednesday, June 8, 2011

Nazar bertukar penculik

Serah tawanan kepada kumpulan lain elak lokasi dikesan


KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia, Mohd Nazarrudin Saidin, 38, kini dilaporkan berada di tangan penculik lain di Pulau Jolo, Filipina tetapi tidak diketahui lokasi dia disembunyikan.

Sumber berkata, laporan baru diterima menyatakan, Mohd Nazarrudin bertukar tangan ke kumpulan lain selepas ada pihak cuba tampil kononnya menjadi orang tengah bagi pembebasan pencari cicak tokek dari Malaysia itu.
“Lelaki itu bertindak bersendirian kononnya mahu menjadi orang tengah, sedangkan matlamat sebenarnya mahu mendapatkan komisyen jika wang tebusan Mohd Nazarrudin dibayar.
“Bagaimanapun, lelaki berkenaan dibunuh dan Mohd Nazarrudin selepas itu dipercayai diserahkan kepada kumpulan lain serta disembunyikan di lokasi baru,” katanya kepada Berita Harian.

Amalan menjual orang tawanan sering dilakukan kumpulan penculik di Filipina dalam usaha mereka memastikan dapat menyembunyikan identiti sebenar penculik, selain dikatakan sebagai langkah mengelirukan pihak berkuasa yang memburu mereka.

Mohd Nazarrudin, penganggur dari Sungai Buloh yang cuba menjadi orang tengah untuk mencari tokek, cicak besar yang ditawarkan harga tinggi di pasaran gelap kerana didakwa mempunyai khasiat mengubati penyakit HIV dan ekornya pula boleh dijadikan bahan untuk senjata nuklear, diculik di Pulau Jolo, selatan Filipina, pada 8 Mei lalu.

Polis Zamboanga, kota terbesar di barat pulau Mindanao, selatan Filipina, sebelum ini mengesyaki Mohd Nazarrudin diculik kumpulan dipimpin Albahsy Misaya, yang ada kaitan dengan al-Qaeda di sekitar Pulau Jolo. Sumber polis juga menyatakan, kumpulan itu menuntut tebusan RM5.6 juta bagi membebaskan Mohd Nazarrudin.
Bagaimanapun, dengan laporan terbaru ini, keadaan menjadi semakin sukar kerana belum ada pihak mengaku bertanggungjawab menahan Mohd Nazaruddin, selain tidak dapat dipastikan lokasi dia ditahan kerana selatan Filipina mempunyai ratusan pulau kecil yang sukar ditembusi kerana keadaannya bergunung-ganang dan hutan tebal.

Namun, belum ada sebarang pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa tempatan berhubung laporan itu. Sementara itu, keadaan di Jolo dilaporkan terus tegang semalam, apabila polis berjaya menggagalkan cubaan serangan bom di bandar itu.

Pengarah Polis Wilayah, Felicisimo Khu, dipetik sebagai berkata, polis menerima maklumat bungkusan yang ditinggalkan lelaki tidak dikenali di kampung Asturias pada Jumaat lalu.

“Polis berjaya menemui bom yang dibuat daripada bom mortar 81mm lengkap dengan pemasa, bateri dan empat peledak.

“Polis berjaya mematikan bom itu yang diletakkan di depan kedai runcit milik seorang pegawai polis, Maning Sappal kira-kira jam 9 malam,” katanya yang dipetik media tempatan.

Khamis lalu, seorang anggota tentera terbunuh, manakala rakannya cedera selepas bertempur dengan puak militan di pulau berkenaan.
Berita Harian Online | Nazar bertukar penculik

No comments: