Pages

Wednesday, June 8, 2011

Bantuan Gaza tersadai di Al Arish

Kapal Rachel Corrie tunggu lampu hijau dari kerajaan Mesir punggah paip UPVC

KUALA LUMPUR: Kapal kargo The Spirit of Rachel Corrie yang kini berlabuh di Pelabuhan Al Arish, Mesir masih menunggu lampu hijau daripada pihak berkuasa Mesir untuk memunggah keluar 7.5 kilometer paip UPVC yang dibawa kapal misi kemanusiaan itu sebelum dihantar ke Gaza melalui jalan darat.

Ketika berita ini ditulis semalam, kapal misi kemanusiaan tajaan Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) itu masih ‘tersadai’ di pelabuhan komersial berdekatan sempadan Mesir-Gaza selepas semua 12 krew dan penumpang, termasuk tujuh rakyat Malaysia, selamat pulang ke tanah air, Sabtu lalu.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah PGPF, Tan Sri Samsudin Hitam, berkata yayasan itu kini menunggu kelulusan pihak berkuasa Mesir untuk menyimpan sementara paip terbabit di sebuah gudang di Al Arish, atau menghantarnya terus ke Gaza melalui jalan darat.
Beliau yang sebelum ini mengetuai pasukan darat misi kemanusiaan itu berkata, semua dokumentasi berkaitan sudah diserahkan kepada pihak berwajib termasuk pihak keselamatan Mesir bagi membolehkan paip berkenaan diserahkan kepada Agensi Kerja dan Bantuan Awam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) untuk membawa bantuan kemanusiaan itu ke Gaza.

“Bantuan kemanusiaan (paip UPVC) berkenaan tetap dihantar ke Gaza melalui jalan darat, kini terpulang kepada kelulusan pihak berkuasa Mesir sama ada akan dihantar terus atau disimpan sementara sebelum dibawa ke Gaza pada masa sesuai.
“PGPF berharap bantuan kemanusiaan itu akan sampai kepada rakyat Gaza melalui UNRWA,” katanya kepada Berita Harian, semalam, selepas tiba di Malaysia, Ahad lalu.

Sebelum ini, yayasan yang mempromosikan keamanan sejagat itu mahu paip UPVC yang dibawa dari Piraeus, Greek itu, dihantar ke Gaza melalui sempadan Rafah yang dikuasai Mesir, tetapi kemungkinan besar akan dihantar ke Gaza melalui Karem Shalom.
Pada 16 Mei lalu, kapal misi kemanusiaan yang turut dinaiki wakil media dan aktivis keamanan dari Malaysia, Ireland dan Kanada itu dipintas dan ditembak dua bot peronda Israel selepas berjaya memasuki sehingga satu batu nautika di perairan Gaza yang dikawal ketat rejim Tel Aviv sejak 2007.
Berita Harian Online | Bantuan Gaza tersadai di Al Arish

No comments: