Indonesia bayar RM1.59j selamatkan Darsem
RIYADH: Kerajaan Indonesia membayar 2 juta riyal (RM1.59 juta) sebagai wang darah untuk menyelamatkan nyawa pembantu rumahnya daripada dihukum bunuh di Riyadh kerana membunuh majikannya yang berketurunan Yaman pada 2009.Media tempatan melaporkan, Kementerian Luar Indonesia menghantar wang itu ke kedutaannya di Riyadh bagi membolehkan pembebasan Darsem Dawud.
“Pampasan itu diserahkan oleh dua pegawai Kedutaan Indonesia kepada satu panel kerajaan di Riyadh yang mengendalikan kes,” kata pegawai rasmi Bahagian Perlindungan Warganegara kedutaan, Hendrar Pramutyo.
“Wang darah itu membuktikan komitmen kerajaan Indonesia untuk melindungi pekerja negaranya di luar negara tanpa mengira kos,” katanya lagi.
Beliau memaklumkan mahkamah Riyadh bersedia membebaskan Darsem yang kini ditahan di penjara Malaz.
Darsem berasal dari bandar Subang, Jawa Barat. Beliau didapati bersalah oleh mahkamah Riyadh pada Mei 2009. Hukuman mahkamah terhadapnya adalah pancung.
Pembantu rumah itu terus menegaskan bahawa majikannya cuba merogolnya dan tindakannya bertujuan mempertahankan diri, lapor media Indonesia, kelmarin.
Januari lalu, keluarga majikannya bersetuju mengampunkan Darsem jika mereka dibayar pampasan sebelum Julai tahun ini.
Terdahulu, Menteri Luar Indonesia Marty Natalegawa meminta wakil Dewan Rakyat Indonesia meluluskan penghantaran wang darah untuk menyelesaikan kes itu di bawah belanjawan perlindungan rakyat Kementerian Luar.
“Berikutan isu sensitif ini, kami bimbang akan terlepas tarikh akhir jika terus berbincang dan masalah baru pula akan dihadapi,” katanya kepada penggubal undang-undang di Jakarta.
Jumaat lalu, aktivis Indonesia mengadakan tunjuk perasaan di hadapan Kedutaan Arab Saudi di Jakarta yang membantah hukuman pancung. Siri tunjuk perasaan sering dilakukan di Indonesia selepas seorang amah, Ruyati Sapudi dihukum pancung kerana membunuh majikannya, dua minggu lalu.
Sejak itu, Indonesia melarang penghantaran baru pekerja ke Arab Saudi yang berkuat kuasa 1 Ogos depan.
Ketika ini ada 28 pembantu rumah Indonesia yang masih menanti pelaksanaan hukuman pancung di Arab Saudi, sementara 1,000 lagi masih merengkuk di penjara di seluruh negara itu atas pelbagai kesalahan jenayah. – Agensi Berita Harian Online | Seorang lagi amah nyaris dipancung
No comments:
Post a Comment