Pages

Saturday, June 4, 2011

Mladic mengadu sakit depan hakim



WANITA Muslim Bosnia yang terselamat daripada pembunuhan beramai-ramai Srebrenica, menonton secara langsung kehadiran pertama Mladic di Tribunal Jenayah Antarabangsa, semalam.
WANITA Muslim Bosnia yang terselamat daripada pembunuhan beramai-ramai Srebrenica, menonton secara langsung kehadiran pertama Mladic di Tribunal Jenayah Antarabangsa, semalam.

Bekas jeneral enggan buat pengakuan di mahkamah PBB

HAGUE: Penyembelih Bosnia, Ratko Mladic yang dihadapkan ke mahkamah Jenayah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini semalam mendakwa beliau terlalu sakit dan enggan membuat sebarang pengakuan.
Dalam kehadiran pertamanya di depan Tribunal Jenayah Antarabangsa berhubung bekas Yugoslavia sejak ditahan minggu lalu, Mladic memberitahu mahkamah beliau bertindak ‘mempertahankan penduduk dan negaranya’ ketika mengetuai gerila Serb dalam konflik Bosnia 1992-95.
“Saya mahu diberi peluang membaca tuduhan liar terhadap saya ini dengan peguam,” Mladic memberitahu satu panel tiga orang hakim.

“Saya perlukan lebih sebulan untuk tujuan ini,” kata bekas jeneral itu yang antara lain dipersalahkan di atas pembunuhan beramai-ramai 8,000 orang lelaki dewasa dan kanak-kanak Srebrenica pada 1995 yang menjadi tuduhan utama terhadapnya.

Balu dan ibu mangsa pembunuhan zalim itu mengikuti prosiding mahkamah menerusi siaran langsung televisyen di Bosnia.

“Saya harap Tuhan membakarnya di neraka,” kata seorang wanita yang ditemui di pusat peringatan mangsa di Potocari, Bosnia.
“Jika saya diberi peluang menjadi hakim dalam kes ini saya akan membawa Mladic ke sini dan kami akan mengoyak badannya hidup-hidup,” kata Hanifa Djogaz yang turut mengikuti siaran langsung itu.

Mladic dihadapkan depan hakim Alphons Orie dengan memakai kot kelabu dengan tali leher emas dan hitam, kelihatan lebih berusia dan kurus.

“Menurut tuduhan, awak Ratko Mladic dituduh bertanggung jawab terhadap pembunuhan beramai-ramai dan jenayah terhadap kemanusiaan dan mencabul peraturan amalan perang,” kata Orie kepada Mladic.

Hakim itu menetapkan 4 Julai untuk kehadiran selanjutnya bagi Mladic dan berkata ketika itu tertuduh harus membuat pengakuan terhadap 11 tuduhan.
Jika gagal berbuat demikian pengakuan tidak bersalah akan dicatat bagi pihak Mladic.

Selepas selama 16 tahun bersembunyi, bekas jeneral berusia 69 tahun itu diberkas di Serbia minggu lalu.

Mladic dituduh merancang pembunuhan Srebrenica – terburuk dalam sejarah Eropah sejak Perang Dunia Kedua – dan kepungan 44 bulan terhadap ibu negara Bosnia, Sarajevo dari Mei 1992 sehingga 10,000 orang terbunuh. – AFP Berita Harian Online | Mladic mengadu sakit depan hakim

No comments: