Pages

Saturday, June 4, 2011

Amerika tuduh pasukan keselamatan Iran penyebab kematian Haleh Sahabi


WASHINGTON: Amerika Syarikat menuduh pasukan keselamatan Iran bertanggungjawab di atas kematian anak perempuan seorang pembangkang veteran pada majlis pengebumian bapanya. 


“Saksi dan laporan boleh dipercayai berhubung kematian Haleh Sahabi pada majlis pengebumian bapanya di Iran menjelaskan bahawa wanita itu meninggal dunia akibat tindakan keras oleh anggota pasukan keselamatan Iran,” kata Mark Toner, jurucakap Jabatan Negara Amerika.
Beliau mengutuk pembunuhan aktivis itu ‘sekeras-kerasnya’ dan enggan mempercayai penjelasan dari Tehran.
Laman web pembangkang Iran Kaleme.com melaporkan, aktivis politik dan sosial berusia 54 tahun itu maut akibat serangan jantung Rabu lalu apabila beliau bersemuka dengan pasukan keselamatan ketika pengebumian bapanya, Ezatollah Sahabi. 

Kaleme.com, laman web pemimpin pembangkang Mir Hossein Mousavi, memetik anak lelaki Sahabi, Yahya Shamekhi sebagai berkata ibunya sedang membuat bantahan ke atas pasukan keselamatan yang menyekat upacara pengebumian dan mengambil jenazah datuknya. 

Bapa saudaranya pula dipetik sebagai berkata oleh Kaleme.com, Haleh meninggal dunia akibat ‘pukulan yang dikenakan ke atasnya, yang agak teruk.’ Namun anak lelakinya, Shamekhi dipetik oleh Kaleme.com dan media lain, berkata ibunya meninggal dunia ‘bukan akibat dipukul namun kerana serangan jantung.’ 

“Tidak diduga sebuah kerajaan amat takut dengan warganya sehingga ia mengarahkan kekerasan ke atas anak perempuan yang sedang berkabung ketika pengebumian bapanya,” kata Toner dalam satu kenyataan. 
“Sememangnya, ini adalah sebuah kerajaan yang sering menyeksa warganya, menahan mereka tanpa didakwa, menyeksa mereka, memutuskan hubungan dari dunia luar dan menafikan hak asasi rakyat mereka.” 

Katanya, Amerika akan meminta pelapor khas mengenai Iran di Majlis Hak Asasi Manusia untuk menyiasat insiden itu sepenuhnya. – AFP 

No comments: